Siapa selepas Muhyiddin?

Muhyiddin -Foto Bernama
Muhyiddin -Foto Bernama
A
A
A

DENGARNYA Pakatan Harapan (PH) masih belum sepakat memilih siapa calon Perdana Menteri. Tiga parti dalam PH − DAP Amanah dan Bersatu − mahukan Tun mantan Perdana Menteri. PKR berkeras mahukan Tuk Seri Anwar Ibrahim.

Awang faham bagaimana hal itu boleh berlaku.

Ada pandangan yang mengatakan jikalau Anwar pimpin PH, harapan adalah tipis untuk rampas kerajaan sekarang. Tapi pihak Anwar pula tak percaya kalau Tun jadi PM sekali lagi.

Dan banyak kali Tun janji nak serah teraju padanya tapi tak ditunaikan. Jadi orang kuat Anwar tentu mahu beliau jadi calon PM.

Awang harap isu siapa calon PM itu akan dapat diselesaikan. PH harus dilihat pasukan yang padu. Awang rasa dengan sokongan bukan Melayu dan orang Melayu, PH yang bersatu padu akan jadi saingan hebat pada kerajaan Tan Sri Perdana Menteri dalam pilihan raya akan datang.

Orang Anwar pun kena kompromi. Dulu mereka yang buat riuh desak Tun undur diri. Macam Awang pernah kata, apa yang budak-budak Anwar buat terhadap Tun pada tahun 1998 dibuat oleh budak-budak Anwar tahun 2019.

Ekoran ‘Langkah Sheraton’, Tan Sri Perdana Menteri dan pasukannya ambil kesempatan daripada keadaan itu.

Awang nampak Tun masih ada aura untuk pimpin pakatan lawan Tan Sri Perdana Menteri. Sama-samalah kita lihat wayang seterusnya di pawagam politik negara.

Artikel Berkaitan:

Masa bertindak tegas

AWANG nak ucapkan syabas pada Tan Sri Ketua Polis Negara dan PDRM yang tangkap 18 anggotanya sendiri serta anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Mereka disyaki terbabit dalam jenayah terancang seludup pendatang tanpa izin (PATI) di Johor.

Kata Tan Sri Ketua Polis Negara (KPN), terdapat dalam kalangan anggota PDRM yang menjadi petualang bagi mendapat habuan wang dengan membantu sindiket terbabit.

Tindakan itu sangat dialu-alukan oleh rakyat. Rakyat tahu selama ini banyak petualang dalam pelbagai agensi di negara kita. Tapi rakyat tak boleh buat apa-apa.

Apabila PDRM sendiri buktikan ketegasannya, tindakan itu akan buka mata rakyat tentang betapa seriusnya usaha Tan Sri KPN nak bersihkan nama PDRM.

Bukan rahsia lagi banyak laluan untuk PATI menyeludup masuk. Ada yang sebut lorong tikus. Ada yang bagi alasan perairan kita luas. Tapi semua itu berpunca daripada petualang yang Tan Sri KPN sebut itu. Ada pihak yang ambil peluang dan kesempatan.

Awang rasa ekoran wabak Covid-19, patutnya semua agensi yang terbabit ambil langkah bersepadu bersihkan PATI dari tanah air kita. Jangan kompromi lagi. Mana yang tidak ada dokumen perjalanan atau permit kerja yang sah, hantar sahaja pulang.

Inilah salah satu hikmah daripada wabak Covid-19. Kita ada alasan untuk bertindak atas nama keselamatan dan kesihatan. Tapi semua pihak harus bekerjasama.

Jangan sampai ada petualang yang menangguk di air keruh.

Selagi pihak berkuasa seperti PDRM, imigresen dan ATM tidak dilihat serius untuk tangani isu ini, selagi itulah kita akan dibanjiri oleh PATI.