Patuhi 14 SOP sukan air dalam kolam renang

Reezal Merican Naina Merican -Foto Bernama
Reezal Merican Naina Merican -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR- Peserta dan operator yang terlibat dalam latihan kolam renang perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi sukan air dalam kolam renang yang ketat.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan PKP semalam bersetuju membenarkan pembukaan sektor sukan air dalam kolam renang untuk aktiviti latihan tanpa sentuhan fizikal.

“Aktiviti latihan renang, termasuk latihan terjun dan latihan menyelam, dibenarkan di kolam renang mengikut sesi tertentu yang ditetapkan serta perlu dihadkan jumlah orang pada satu-satu sesi mengikut kapasiti kolam renang untuk dua kategori peserta atau perenang.

“Dua kategori itu ialah atlet kebangsaan, negeri dan perenang kelab atau akademi renang dalam program-program latihan tertentu dan peserta dalam program-program latihan berperingkat seperti program belajar berenang,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, terdapat 14 perkara dalam SOP Am individu yang perlu dipatuhi atlet atau peserta seperti pendaftaran aplikasi MySejahtera, memakai pelitup muka sebelum dan selepas latihan; penjarakan sosial di dalam kolam renang; tidak meludah merata-rata dan tidak bersalaman atau bersentuhan serta kurangkan interaksi sosial.

Bagi SOP tambahan untuk sukan air dalam kolam renang pula, peserta perlu memastikan aktiviti latihan renang dilakukan di dalam kolam yang standard untuk latihan dan pertandingan serta memastikan pengguna terlebih dahulu membersihkan diri sebelum menggunakan kolam.

Sementara itu, operator kolam, kelab dan akademi renang perlu mematuhi 22 perkara dalam SOP Am Pengurusan seperti memaparkan imbasan Kod QR bagi pendaftaran individu ke premis dan tatacara/SOP dalaman operator, kelab dan akademi yang bersesuaian, selari dengan SOP MKN.

Mereka juga perlu mematuhi SOP tambahan kolam renang iaitu memastikan pengguna yang menghidap penyakit berjangkit berbahaya dan penyakit kulit dilarang mandi di kolam renang dan pengguna terlebih dahulu membersihkan diri sebelum menggunakan kolam renang.

Artikel Berkaitan:

Parameter dan nilai piawai bagi kualiti air adalah tertakluk kepada Garis Panduan Pemantauan Kualiti Air Kolam Renang yang terkini dan ujian klorin air dalam kolam renang dilakukan setiap dua jam operasi.

Reezal Merican berkata, pembukaan kolam renang untuk aktiviti latihan sukan akan berkuat kuasa mulai Khamis depan (25 Jun 2020) untuk memberikan masa kepada operator kolam renang, kelab dan akademi renang untuk membuat persiapan rapi, menyediakan SOP dalaman bersesuaian serta bagi tujuan pembersihan kolam renang dan premis.

“Operator kolam renang, kelab dan akademi renang juga perlu membuat pendaftaran notifikasi pembukaan kolam renang dengan MITI di laman sesawang NOTIFICATION.MITI.GOV.MY untuk tujuan pematuhan kepada SOP dan untuk tujuan pemantauan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

“Bagi pihak KBS dan semua penggiat industri sukan air, saya ingin merakamkan penghargaan kepada Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ahli Mesyuarat Khas Menteri-Menteri kerana telah meluluskan permohonan pembukaan sektor sukan air dalam kolam renang ini untuk kembali beroperasi,” katanya.