X

Kindly register in order to view this article
!

Tiga perkara utama tangani impak Covid-19

Hishammuddin
A
A

PUTRAJAYA - Membasmi Covid-19, memulihkan semula kegiatan ekonomi dan meningkatkan kerjasama antarabangsa -- adalah tiga perkara utama akan diberi tumpuan untuk mengekang, meredakan dan menumpaskan Covid-19 dan limpahan impak disebabkan pandemik itu.

Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengetengahkan tiga perkara utama itu pada Sidang Video Peringkat Tinggi mengenai Kerjasama Jalur dan Laluan Antarabangsa (BRI) pada Khamis petang (18 Jun) bertema 'Memerangi Covid-19 Dengan Solidariti', Hishamuddin berkata, Covid-19 tidak mendiskriminasi dan akan menjejaskan semua orang dalam laluannya, tanpa mengira sempadan, kekayaan atau kuasa.

Dalam membasmi Covid-19 katany,a terdapat dua perkara bagi negara yang terbabit perlu utamakan - perubatan untuk merawat mereka yang dijangkiti dan vaksin diperlukan untuk memastikan pencegahan pada jangkitan di masa depan.

"Dalam tempoh beberapa bulan lepas, kami mengadakan perbincangan dengan sahabat dan rakan kongsi di seluruh dunia untuk berkongsi amalan terbaik dan maklumat untuk mencegah, mengawal dan merawat COVID-19, tetapi untuk benar-benar dapat mengisytiharkan kemenangan ke atas COVID-19, kita perlukan ubat dan vaksin yang boleh didapati, diakses dan samarata untuk semua negara," katanya.

Hishammuddin berkata Malaysia menyokong penuh ikrar Presiden China Xi Jinping pada Perhimpunan Kesihatan Sedunia Ke-73 di Geneva bahawa China akan memastikan vaksin COVID-19 “diagihkan kepada orang awam di seluruh dunia”, sebaik sahaja ia berjaya dihasilkan.

Malaysia turut menyokong ikrar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk memberikan respons kesihatan berskala besar, selaras dan komprehensif dengan penekanan pada solidariti terhadap negara-negara membangun, katanya.

Malaysia juga memuji kejayaan China dalam memerangi Covid-19 serta sumbangan barangan dihulurkan negara itu yang telah membantu Malaysia dalam memerangi musuh yang tidak kelihatan itu, katanya.

Bagi usaha memulihkan semula ekonomi, Hishammuddin berkata, respons bersepadu diperlukan untuk memulihkan kembali perdagangan global dan aliran barangan dan perkhidmatan dalam era pasca pandemik.

Beliau berkata infrastruktur penting bagi laluan perdagangan dan perniagaan menerusi udara, darat dan laut perlu dipelihara dan kekal dibuka sebagai langkah perlu untuk secara beransur-ansur mewujudkan semula kestabilan dan keselamatan ekonomi di seluruh dunia.

Pada persidangan Jalur dan Laluan, beliau menegaskan adalah bermanfaat untuk diberi nasihat tentang bagaimana inisiatif yang diumumkan sebelum ini di bawah Jalur dan Jalan akan berkembang, terutamanya jika pandemik itu telah menyebabkan perancangannya tergendala.

"Sepertimana yang kita tahu, landskap global kini sudah berubah, dan perniagaan tidak boleh dijalankan seperti biasa. Adalah penting untuk kita mendapat garis panduan tentang bagaimana perancangan di masa depan akan digariskan aatau diperincikan untuk membolehkan kita menghadapi situasi itu dengan sebaik mungkin," katanya.

Beliau berkata, Malaysia berpendapat penting untuk China menjalin kerjasama rapat dengan semua negara yang terbabit dengan Jalur dan Laluan untuk memikirkan dan mencartakan semula laluan yang jelas pada pascapandemik.

Mengenai usaha meningkatkan lagi kerjasama antarabangsa, Hishammuddin berkata Malaysia percaya usaha membangunkan vaksin dan memperbaharui kerjasama ekonomi merupakan langkah pertama yang penting bagi usaha pelbagai hala.

Sebagai antara ahli terawal Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) serta mengambil kira potensi besar ditawarkan BRI untuk menggalakkan kemampanan global dan pertumbuhan inklusif, Malaysia percaya usaha mempergiat pertumbuhan ekonomi dan pembangunan sosial secara kolektif akan memberi manfaat kepada semua, katanya.

"Adalah amat penting untuk kita memperkukuh kerjasama antarabangsa dalam memerangi pandemik ini menerusi solidariti dan perkongsian," katanya. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!