Mujahid sedia disiasat dakwaan lelong aset Tabung Haji

Dr Mujahid Yusof
Dr Mujahid Yusof
A
A
A

KUALA LUMPUR - Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof tiada halangan jika disiasat di bawah satu suruhanjaya diraja kerana didakwa melelong aset Tabung Haji (TH) ketika memegang jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Mujahid berkata, beliau sedia bekerjasama bagi menyelesaikan fitnah, penipuan dan berita palsu terhadap TH yang dimainkan oleh Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

"Saya mencadangkan juga Asyraf Wajdi bertemu dengan Menteri Agama hari ini (Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri) dan bertanya kepadanya apakah benar dakwaan Mujahid melelong harta TH atau Mujahid telah menyelamatkan TH daripada legasi kepimpinan TH semasa kerajaan BN.

"Saya sarankan juga kepada Asyraf Wajdi untuk rujuk kepada Lembaga Pengarah dan Pengurusan TH untuk bertanya penjelasan ringkas saya ini, sejauh mana kebenaran penjelasan saya," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan Asyraf Wajdi yang mendedahkan surat pelucutan hak terhadap pembelian semula aset Lembaga Tabung Haji (TH) oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dipercayai ditandatangani sendiri oleh Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif TH, Nik Mohd Hasyudeen Yusof dan diluluskan beliau selaku Menteri Agama di bawah PH.

Melalui surat rasmi TH bertarikh 3 Disember 2019 itu mendedahkan Mujahid meluluskan pengecualian hak penolakan pertama bagi 18 aset hartanah TH yang dipindahkan ke sebuah syarikat, Urusharta Jemaah Sdn Bhd (UJSB).

ARTIKEL BERKAITAN: Mujahid bertanggungjawab atas lelongan aset hartanah TH: Pemuda UMNO

Mujahid yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar berkata, Asyraf Wajdi juga boleh meminta UJSB dan Menteri Kewangan kerajaan Perikatan Nasional untuk bertanya sama ada 18 aset yang dimaksudkan sudah terjual di pasaran setelah pengecualian hak penolakan pertama diluluskan.

Menurutnya, aset hotel dimaksudkan Asyraf Wajdi sebenarnya tidak dijual tetapi dikendalikan oleh anak syarikat UJSB (kini di bawah Menteri Perikatan Nasional).

Artikel Berkaitan:

"Alhamdulillah langkah pemulihan awal kami tanpa disedari telah menyelamatkan TH daripada bebanan kerugian sektor perhotelan akibat pandemik koronavirus (Covid-19).

"Bagaimana Ketua Pemuda UMNO ini yang memiliki ijazah doktor falsafah (PhD) boleh mendakwa saya 'melelong harta TH' sedangkan di bawah pentadbiran PH, kami cuba menyelamatkan kewangan TH yang tenat malah 'nazak' yang kami warisi daripada BN sebelumnya.

"Semasa beliau menjadi Timbalan Menteri Agama dari Julai 2015 hingga Mei 2018, apakah tindakan yang diambil sedangkan keadaan defisit sudah pun mula membengkak? Sila jelaskan kepada umat Islam," katanya.