Cake saran kerajaan lanjut tempoh moratorium

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

ALOR SETAR - Persatuan Pengguna Kedah (Cake) menyarankan kerajaan melanjutkan tempoh moratorium enam bulan yang akan berakhir pada September 2020.

Setiausahanya, Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, pihaknya bimbang rakyat masih belum bersedia berdepan fasa selepas tamat moratorium untuk membayar semula komitmen pinjaman, terutama pekerja yang kehilangan pekerjaan dan hilang pendapatan susulan pandemik Covid-19.

Mohamad Yusrizal
Mohamad Yusrizal

Menurutnya, ramai yang menganggap moratorium memberi kelegaan kepada peminjam ketika menjalani tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila aktiviti ekonomi tidak aktif.

“Sejak tempoh PKP, ramai hilang punca pendapatan bukan sahaja peniaga atau industri malah ramai yan hilang pekerjaan. Selepas kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), ekonomi negara mengalami penstrukturan semula dan rakyat perlu membangunkan semula ekonomi mereka,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: FOMCA saran kerajaan lanjutkan moratorium sehingga Disember

Moratorium perlu dilanjutkan

Moratorium perlu dilanjutkan, rakyat masih terbeban

Artikel Berkaitan:

Mohamad Yusrizal berkata, sekiranya moratorium ini dilanjutkan, ia akan memberi sedikit ruang kepada orang ramai untuk menyusun semula kewangan mereka.

“Bagaimanapun perlu diingatkan moratorium bukanlah pengecualian pembayaran balik pinjaman, ia hanya langkah bagi mengurangkan bebanan peminjam,” katanya.

Menurutnya, kebanyakan pinjaman berkaitan keperluan seperti pembelian rumah dan kenderaan dan melibatkan jumlah yang tinggi.

Sementara, penuntut Program Ijazah Sarjana Muda Kewangan (Kepujian), Universiti Utara Malaysia (UUM), Muhammad Saniy Samsudin berharap kerajaan menimbangkan lanjutan moratorium supaya dapat menstabilkan kembali aliran tunai syarikat yang terjejas.

Muhammad Saniy
Muhammad Saniy

“Sektor pendidikan dan pengajian juga terkesan dan masing-masing mencari penyelesaian terbaik. Pelbagai persoalan dilihat terutama isu berbelanja, keluar rumah atau ke kawasan tumpuan perniagaan yang menghalang proses pemulihan sektor ekonomi.

"Selagi vaksin belum ditemui pastinya keadaan berterusan dan mengancam ekonomi negara. Kerajaan perlu pertimbangkan hasrat rakyat agar dilanjutkan tempoh moratorium bagi memulihkan ekonomi negara,” katanya.

Sebelum ini, Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) dan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) turut meminta kerajaan menimbangkan pelanjutan moratorium.

Pada 25 Mac lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan penangguhan pembayaran balik pinjaman, penstrukturan semula baki kad kredit dan pinjaman perniagaan selama enam bulan susulan penularan wabak Covid-19.