Pemilihan Mohd Sharim tepat: Pemuda UMNO Johor

Mohd Hairi Mad Shah
Mohd Hairi Mad Shah
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pemilihan Mohd Sharim Md Zain, 41, sebagai calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini membuktikan UMNO dan Barisan Nasional (BN) berjiwa besar serta berfikiran terbuka menerima orang muda mewakili mereka.

Ketua Pemuda UMNO Johor, Mohd Hairi Mad Shah berkata, pemilihan Mohd Sharim yang mempunyai kepandaian serta berkebolehan juga membuktikan UMNO dan BN tidak ketandusan pemimpin untuk diketengahkan.

Berdasarkan pengalaman Mohd Sharim sebagai Pengerusi Majlis Belia Felda Wilayah Kuantan dan anak peneroka Felda Chini 3, pihaknya yakin Mohd Sharim sebagai calon tepat untuk mewakili rakyat di tanah rancangan berkenaan.

"Pemuda UMNO Johor yakin Mohd Sharim akan diterima semua golongan usia termasuk golongan muda yang membabitkan 56 peratus pengundi muda di DUN Chini," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Teka-teki mengenai calon BN di PRK DUN Chini pada 4 Julai ini terjawab semalam apabila pucuk pimpinan parti memilih Mohd Sharim sekali gus menamatkan spekulasi anak bekas Perdana Menteri, Mohd Nizar Najib yang disebut-sebut bertanding di kerusi tersebut.

Mohd Hairi berkata, Pemuda UMNO Johor berterima kasih kepada Presiden BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, kepimpinan UMNO Pahang dan kepimpinan UMNO Bahagian Pekan kerana membuka ruang kepada orang muda menjadi calon.

Kata beliau, sewajarnya UMNO dan BN melakukan transformasi kepimpinan dan pendekatan bagi memulihkan semula maruahnya sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Selepas PRU14 ujarnya, UMNO dan BN tidak boleh lagi mengetepikan dan meminggirkan suara anak muda.

Artikel Berkaitan:

"UMNO dan BN perlu berani mengetengahkan pemimpin muda yang berpotensi untuk mengembangkan idealisme mereka khususnya mendekati serta menarik golongan muda yang tidak memilih BN pada PRU14 lalu," katanya.