Kes baharu Covid-19 kembali kepada satu digit

 Dr Noor Hisham Abdullah
Dr Noor Hisham Abdullah
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Kes baharu penularan koronavirus (Covid-19) di negara ini kembali kepada satu digit selepas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekod enam kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, empat daripada kes tersebut membabitkan penularan tempatan dan rakyat Malaysia.

"Satu kes saringan pusat tahfiz dikesan di Kuala Lumpur dan satu kes di Selangor melibatkan ahli keluarga kepada pesakit Covid-19 (kes 1583)," katanya.

Menurutnya, satu kes dikesan di Negeri Sembilan yang melakukan saringan untuk pulang ke Sarawak.

"Selain itu satu kes tempatan juga dikesan di Bintulu, Sarawak yang merupakan kluster baharu iaitu Kidurong," katanya pada sidang akhbar perkembangan terkini Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.

Beliau berkata, dua kes import membabitkan seorang warga Malaysia dan seorang pemastautin tetap.

"Dua kes berkenaan import dari Pakistan dan Kanada," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, pertambahan itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif Covid-19 sebanyak 8,535.

Artikel Berkaitan:

Sehingga kini katanya, sebanyak tiga pesakit sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan tiada kes yang memerlukan bantuan pernafasan.

Menurutnya, terdapat 70 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini.

"Jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya adalah sebanyak 8,070 kes bersamaan dengan 94.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kes," katanya.

Beliau berkata, jumlah kes aktif yang telah diasingkan dan diberi rawatan adalah sebanyak 344 kes.

"Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan," katanya.