X

Kindly register in order to view this article
!

Penyeludup gagal godam sistem pelabuhan

Zulkurnain (dua kanan) bersama pegawainya melihat arak yang dirampas.
A
A

PETALING JAYA - Taktik sindiket penyeludupan minuman keras menggodam sistem pelabuhan bagi membawa masuk sembilan kontena arak bernilai RM8.2 juta termasuk cukai melalui Pelabuhan Klang, 12 Jun lalu berjaya digagalkan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Penolong Ketua Pengarah JKDM, Datuk Zulkurnain Mohamed Yusuf berkata, taktik licik yang cuba memanipulasi data berjaya dikesan melalui serbuan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Penguatkuasaan JKDM Zon Tengah, Unit II (Selangor).

"Siasatan awal mendapati sindiket yang dibantu ejen perkapalan memanipulasi data di sistem pelabuhan. Mereka juga menggodam kata laluan sistem pelabuhan pegawai JKDM untuk meminda status kontena yang ditahan kepada release.

"Bagaimanapun, kecekapan JKDM menggagalkan rancangan mereka," katanya pada sidang akhbar di Kompleks JKDM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, hari ini.

Menurutnya, hasil pemeriksaan ke atas semua kontena menemukan pelbagai jenis minuman keras yang dipercayai belum lulus kastam.

"Nilai rampasan dianggarkan RM2.6 juta membabitkan 165,000 liter minuman keras dengan jumlah duti dan cukai dianggarkan RM5.6 juta," katanya.

Mengulas lanjut, Zulkurnain berkata, rampasan terbesar JKDM itu turut membawa kepada penemuan modus operandi baharu yang digunakan sindiket bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Menurutnya, ejen perkapalan yang disyaki telah dikenal pasti dan kini sedang dikesan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 135(1)(g) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 74(1)(e) Akta Eksais 1976.

Beliau menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai penyeludupan rokok, minuman keras, mercun, dadah dan kenderaan memaklumkan kepada JKDM untuk tindakan lanjut.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari.Langgan Sekarang!

Polisi Data Peribadi Karangkraf