Aidil minta semua patuhi SOP latihan

Aidil kembali menjalani latihan di Padang Seri Gelam semalam.
FOTO: FB JOHOR SOUTHERN TIGERS
Aidil kembali menjalani latihan di Padang Seri Gelam semalam. FOTO: FB JOHOR SOUTHERN TIGERS
A
A
A
Tonggak pertahanan Johor Darul Ta’zim (JDT), Aidil Zafuan Abdul Radzak menyeru semua pemain dan pasukan untuk sama-sama mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pada latihan Fasa 1 sepertimana diarahkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Baginya, tiada cara lain jika mahu mengharapkan latihan penuh dapat dijalankan dalam masa terdekat kecuali semua pihak tidak melanggar SOP terutamanya mengekalkan corak latihan yang tidak mengamalkan 'sentuhan badan' selain berdisiplin di gelanggang latihan.

“Saya mengharapkan kita mampu ikuti segala arahan diberikan demi kebaikan bersama kerana kita tidak mahu selepas ini berlaku benda-benda yang tidak diingini seperti penularan virus Covid-19 dalam kalangan pemain.

“Ini merupakan tanggungjawab kita bersama bagi mengikuti SOP yang ditetapkan bagi membendung penularan wabak COVID-19 selain menjaga kepentingan liga kita.

“Dalam masa sama, saya bersetuju juga jika kita sama-sama kekalkan disiplin dengan ikuti semua SOP, kita boleh sama-sama memastikan latihan secara penuh dapat dibuat dalam masa terdekat, ” katanya.

Rabu lalu, Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan menegaskan latihan Fasa 1 bakal menjadi penanda aras penting buat pasukan sebelum pengendali liga tempatan itu melanjutkan proses kepada Fasa 2.

Ini kerana proses kepada Fasa 2 iaitu latihan secara body contact akan menjadi lebih cerah jika kesemua pasukan patuh serta disiplin mengikuti setiap SOP ketika menjalani sesi latihan dalam Fasa 1 tanpa body contact.

Terdahulu, skuad Harimau Selatan yang telah mendapat kelulusan MFL mula kembali turun ke padang di pusat latihan JDT di Padang Seri Gelam semalam.

Menurut Aidil, permulaan latihan itu sebagai sesuatu yang baik kerana bukan sahaja kepada dirinya bersama JDT, namun juga bersama skuad kebangsaan.
Artikel Berkaitan:


“Latihan pertama saya dengan JDT berjalan lancar walaupun mungkin banyak perkara kita perlu ikuti dengan penuh berhati-hati terutama dari segi penjarakan dan tidak boleh bersentuhan semasa melakukan latihan.

“Tiga bulan selepas tidak dapat berlatih bersama, bagi saya berjumpa dengan kembali rakan sepasukan memang satu menggembirakan tetapi dalam masa sama perlu menjaga batas agar tidak melanggar SOP.

“Bagi saya, situasi kebenaran berlatih lebih awal ini cukup positif kepada perkembangan liga kita selain skuad kebangsaan kerana ia akan membantu jurulatih mendapatkan pemain yang cergas bagi hadapi aksi di peringkat antarabangsa,” jelasnya.