Eksport durian Thailand ke China bernilai RM2.56 bilion

China mengimport durian bernilai RM2.56 bilion dari Thailand dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini. Foto: 123RF
China mengimport durian bernilai RM2.56 bilion dari Thailand dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini. Foto: 123RF
A
A
A

BANGKOK - Minat China yang tinggi terhadap durian Thailand kekal kukuh dan tidak terjejas oleh pandemik Covid-19 apabila negara itu mengimport durian bernilai RM2.56 bilion dari Thailand dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini.

Menurut Kementerian Perdagangan Thailand, eksport durian negara Asia Tenggara ke China dari Januari hingga April tahun ini meningkat 78.05 peratus dari segi tahun ke tahun.

Eksport durian sejuk beku ke China dalam tempoh itu turut meningkat kepada RM127 juta daripada RM94.05 juta dalam tempoh sama pada tahun lepas.

Pengerusi Persatuan Pengeksport Durian dan Manggis Thailand, Panuwat Maikaew berkata, permintaan yang semakin meningkat terhadap durian Thailand, untuk segar dan beku, terus menggalakkan pada tahun ini kerana popularitinya yang luar biasa di pasaran China dan pandemik Covid-19 gagal memutuskan rantaian bekalannya.

Beliau berkata pertumbuhan permintaan yang kukuh terhadap ‘Raja Buah’ itu telah menaikkan harga durian untuk dieksport kepada antara RM18 dan RM21 sekilogram (kg) pada tahun ini berbanding RM11 hingga RM15 sekilogram pada tahun lepas.

“Kami bimbang pandemik tersebut akan menjejaskan eksport durian. Bagaimanapun, bukan hanya ia memberi impak yang kecil, malah eksport turut meningkat,” katanya kepada Bernama.

Panuwat berkata, Thailand menanam sebanyak 80 peratus daripada durian jenis Monthong, juga dikenali sebagai 'Bantal Emas' di Thailand kerana isinya yang tebal, rasa manis berkrim dan kurang aroma, dan 20 peratus jenis durian lain seperti Chanee, Kanyao, Kradum, dan Puang Manee.

“Berdasarkan persaingan yang sengit, pemborong durian segera membuat pesanan untuk mengeksport ke China. Jumlah pemborong durian telah meningkat daripada 100 orang hingga 300 orang kepada kira-kira 700 orang pada tahun lepas,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Pejabat Ekonomi Pertanian Thailand menjangka pengeluaran durian di negara ini akan mencecah sebanyak 1.15 juta tan metrik pada tahun ini berbanding 1.02 juta tan metrik pada tahun lepas.

Lima wilayah iaitu Chantaburi, Chumporn, Rayong, Nakhon Si Thammarat dan Yala menghasilkan sebanyak 766,000 tan metrik durian pada tahun lepas, dengan Chanthaburi sahaja menghasilkan 339,292 tan metrik durian untuk menjadi wilayah pengeluar durian terbesar di negara ini.

Pekebun durian dari wilayah Chumporn di Selatan Thailand, Raveewat Kittisuppamongkol, 38, berkata beliau menanam durian jenis Monthong kerana popularitinya dalam kalangan rakyat China.

Menurutnya, penanaman durian Monthong berpotensi untuk menjana lebih banyak pendapatan dengan satu pokok menghasilkan 10 hingga 20 buah durian atau 40 kg hingga 80 kg untuk kali pertama selepas empat tahun dan lebih banyak buah akan dihasilkan apabila pokok mencapai 10 tahun dan ke atas.

“Durian Thailand memasuki era kegemilangan. Masa depan perniagaan durian masih cerah berikutan permintaan yang meningkat di China,” katanya.

Pada tahun lepas, Thailand menghasilkan kira-kira 1.02 juta tan metrik durian dan 80 peratus daripadanya dieksport dan 20 peratus lagi dijual di pasaran tempatan.

Penanaman durian di Thailand meliputi 115,957 hektar pada 2019 dan ia dijangka meningkat kepada 120,120 hektar tahun ini. - Bernama