1MDB: UMNO, Wanita MCA dan dua lain akan terima wang dibekukan

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan untuk menangguhkan keputusan mahkamah membabitkan aset sebanyak hampir RM194 juta milik UMNO, Wanita MCA, Perano Sdn Bhd dan Binsabi Sdn Bhd.

Hakim, Mohamed Zaini Mazlan membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan daripada semua pihak yang terlibat.

Beliau berkata, pasukan pemohon mahu menangguhkan keputusan sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan, Putrajaya ditolak kerana mereka tidak dapat membuktikan wang yang cuba dibekukan itu diberikan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Tidak adil untuk terus membekukan wang mereka jika tiada bukti yang mendakwa dana itu hasil penyelewengan 1MDB (1Malaysia Development Berhad),” katanya.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Abdul Jumaat dan Samihah Rhazali.

UMNO pula diwakili peguam, Datuk Hariharan Tara Singh, Wanita MCA diwakili Datuk Ben Chan, Perano diwakili Thevini Nayagam dan Habizan Habeeb Rahman manakala Binsabi diwakili peguam, Tengku Shazuan Tengku Shariffudin dan Muhammad Hasif Hasan.

Berasaskan keputusan itu, keempat-empat responden memohon agar mahkamah mengeluarkan perintah agar harta berkenaan dapat diserahkan dengan segera.

Habizan: Apa yang kami tahu, pihak bank biasanya tidak akan melepaskan wang berkenaan tanpa surat rasmi kerana sebelum ini akaun-akaun itu dibekukan selepas pendakwaan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Artikel Berkaitan:

Mohamed Zaini: Saya tidak boleh masuk campur dalam proses pentadbiran tertentu.

Selepas prosiding berakhir, Mahadi berkata, UMNO dan tiga yang lain akan mendapatkan wang berkenaan tetapi mungkin mengambil sedikit masa.

Ini kerana katanya, terdapat proses pentadbiran yang harus dilalui sebelum wang dapat diserahkan.

Pada 7 Februari lalu, mahkamah yang sama menolak permohonan kerajaan untuk melucut hak harta UMNO, Wanita MCA, Syarikat Binsabi Sdn Bhd dan Syarikat Perano Sdn Bhd membabitkan wang berjumlah hampir RM194 juta.

Daripada jumlah itu, UMNO mencatatkan nilai tertinggi iaitu RM192.9 juta diikuti Syarikat Binsabi Sdn Bhd (RM777,250), Syarikat Perano Sdn Bhd (RM337,634.78) dan Wanita MCA (RM300,000).

Binsabi merupakan firma pengurusan acara, manakala Perano adalah anak syarikat firma tekstil, Jakel Trading.

Keputusan dibuat selepas mendapati wang bagi keempat-empat entiti berkenaan tidak mempunyai kaitan dengan wang yang didakwa didepositkan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Jumlah wang dari akaun bank responden yang tinggal tidak boleh dikatakan diambil daripada jumlah yang disumbangkan oleh bekas Presiden UMNO itu.

Ia berikutan tindakan SPRM pada 21 Jun tahun lalu, yang memfailkan permohonan kepada mahkamah untuk mendapatkan semula wang daripada 41 responden berjumlah RM270 juta yang dikatakan mempunyai kaitan dengan 1MDB.

Latheefa Koya yang bertindak sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM ketika itu berkata, permohonan melucut hak itu mengikut Seksyen 56 (1) dan Seksyen 61 (2) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Latheefa berkata, ia juga mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA) yang suruhanjaya itu percaya wang berkenaan dipindahkan daripada akaun bank Najib.