Malaysia Airlines lanjut tawaran tambang fleksibel kelas ekonomi

Malaysia Airlines
Malaysia Airlines
A
A
A
MALAYSIA Airlines Bhd (MAB) melanjutkan pilihan tawaran tambang fleksibel kelas ekonomi membabitkan rangkaiannya bermula 22 Jun ini, kecuali bagi destinasi Malaysia ke Jepun dan sebaliknya serta Jeddah dan Madinah.

Pilihan tambang unik itu, Lite, Basic, Flex sebelum ini hanya dihadkan bagi destinasi domestik, ASEAN dan Asia Selatan yang menawarkan aspek fleksibiliti, keselamatan, kelancaran serta pengalaman premium berdasarkan keperluan setiap pelanggan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airlines, Izham Ismail dalam kenyataan hari ini berkata, susulan keadaan yang beransur-ansur pulih daripada pandemik Covid-19 dan orang ramai kembali menaiki pesawat, Malaysia Airlines berhasrat membawa mereka tanpa perlu ada sebarang rasa bimbang.

“Malah, sebagai syarikat penerbangan pertama di rantau Asia Pasifik yang memperkenalkan pilihan tawaran tambang fleksibel di rangkaian sedia ada, ini akan membolehkan tambang itu disediakan mengikut keinginan penumpang.

"Ini termasuk pengalaman tempahan yang mudah berserta hospitaliti Malaysia di dalam serta luar pesawat yang menarik, sekali gus mewujudkan pengalaman perjalanan udara yang lancar dan tanpa tekanan.
Artikel Berkaitan:


"Ia hanya memperkukuhkan lagi komitmen kita untuk sentiasa mengutamakan penumpang, khususnya dalam tempoh tidak menentu yang menyebabkan penumpang tidak berminat untuk melakukan perjalanan udara. Justeru, menerusi pilihan ini, kita berharap dapat menyuntik rasa yakin serta percaya untuk mereka kembali melakukan perjalanan itu," katanya.

Izham berkata, semua penumpang juga berpeluang menikmati kelebihan serta perkhidmatan penuh penerbangan premium serba lengkap dalam tambang yang ditawarkan termasuk bagasi kabin sehingga 7 kilogram, minuman serta makanan/snek percuma selain akses kepada sistem hiburan yang disediakan khas bagi pesawat Malaysia Airlines. - Bernama