Ahmad Yakob teruja jumpa jemaah

Para jemaah khusyuk mendengar khutbah yang disampaikan Imam Muda Masjid Alor Pasir Kamaruddin Ibrahim dengan menjaga jarak antara satu sama lain semasa solat Jumaat di Masjid Alor Pasir, Wakaf Bharu hari ini. -Foto Bernama
Para jemaah khusyuk mendengar khutbah yang disampaikan Imam Muda Masjid Alor Pasir Kamaruddin Ibrahim dengan menjaga jarak antara satu sama lain semasa solat Jumaat di Masjid Alor Pasir, Wakaf Bharu hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

KOTA BHARU – Genap tiga bulan satu hari, akhirnya umat Islam negeri ini dapat menunaikan solat Jumaat di masjid bermula hari ini.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob ketika di temui di Masjid Alor Pasir, Wakaf Bharu di sini bersyukur kerana akhirnya dapat bertemu jemaah masjid.

“Alhamdulillah, saya teruja dan bersyukur akhirnya kita dapat menunaikan solat Jumaat lebih daripada 40 orang.

“Apabila memasuki masjid tadi, satu perasaan luar biasa terutama apabila hubungan silaturahim itu bagaikan bertaut semula,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurutnya, walaupun masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), namun ia sebenarnya dilihat memberi kebaikan kepada semua pihak terutama jemaah untuk menguruskan masa sebaik mungkin.

Katanya, apabila semua jemaah dapat bertemu kembali walaupun dalam norma baharu tetapi tetap membuktikan kehebatan Islam yang menyatupadukan silaturahim umatnya.

“Inilah antara kehebatan Islam yang mengambil kira hubungan masyarakat. Umat Islam tidak boleh bersendiri dan perlu berjemaah,” katanya.

Sementara itu, seorang jemaah, Zaain Zin, 34 tahun berkongsi keterujaannya menunaikan solat Jumaat hari ini dan bangun awal pagi untuk menggosok baju Melayu sebagai persediaan ke masjid.

Artikel Berkaitan:

“Walaupun berlainan darjat dan kedudukan tetapi apabila di masjid, kita bagaikan satu keluarga.

“Masing-masing bertanya khabar dan berbincang mengenai SOP yang perlu dipatuhi sepanjang dalam masjid supaya kita semua patuh arahan. Ini satu norma baharu lain dari yang lain,” katanya.