Kerusi Tanjung Malim: PKR tak terkesan

Chang Lih Kang
Chang Lih Kang
A
A
A

IPOH - Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Tanjung Malim tidak berminat mencampuri urusan MCA dan UMNO khususnya melibatkan perebutan kerusi Parlimen Tanjung Malim, dengan menyifatkannya sebagai urusan 'rumah tangga' Barisan Nasional (BN).

Timbalan Ketuanya, Chang Lih Kang berkata, PKR cabang tersebut melaksanakan program bersama rakyat seperti biasa dan tidak melihat keadaan yang berlaku di antara parti-parti komponen BN itu sebagai peluang untuk mengukuhkan kedudukan PKR di situ.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tanjung Malim berkata, apa yang penting, PKR akan terus menumpukan gerak kerja akar umbi untuk memenangi hati rakyat.

"Apa yang pasti, masih terlalu awal untuk bercerita tentang kerusi Pilihan Raya Umum (PRU) sebaliknya kita terus buat kerja untuk menangi hati rakyat," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai 'perang mulut' antara Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib dan Ketua MCA Bahagian Tanjung Malim, Goh Choong Seng berkaitan kerusi Parlimen Tanjung Malim.

Sebelum ini, BN Tanjung Malim menegur pemimpin MCA dan anggota partinya agar berhenti 'bermain wayang' dan tidak lagi mengharapkan kerusi Parlimen itu untuk bertanding pada PRU15 akan datang.

Menerusi perkongsian di Facebook, Mohd Khusairi berkata, 60 daripada 63 cawangan UMNO di kawasan itu telah mengusulkan supaya calon UMNO diletakkan di kerusi berkenaan.

[ARTIKEL BERKAITAN] - 'MCA carilah kerusi lain selain Tanjung Malim'

Bagaimanapun, MCA Bahagian Tanjung Malim tidak mahu beralah dan tetap mempertahankan kerusi Parlimen itu pada PRU15 akan datang.

Artikel Berkaitan:

Choong Seng berkata, mereka akan mengemukakan calon bertanding di Parlimen itu yang merupakan kawasan tradisi MCA.

[ARTIKEL BERKAITAN] - MCA tetap pertahan kerusi Tanjung Malim

Pada PRU14, Lih Kang berjaya menewaskan calon BN, Datuk Dr Mah Hang Soon yang juga Timbalan Presiden MCA dengan majoriti 5,358 undi.