Dron APM pantau kawasan terjejas banjir

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUCHING - Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sarawak melakukan tinjauan dari udara menerusi Unit Dron APM untuk memeriksa dan memantau kawasan yang terjejas banjir di negeri ini.

Pengarah APM Sarawak, Kolonel Mohtar Samad berkata semua kawasan yang terjejas banjir mula menunjukkan peratusan paras air yang menurun.

“Jika hujan lebat berterusan kemungkinan air akan naik kembali, namun dari pemantauan unit udara APM, menunjukkan air sungai dalam keadaan menurun dan air mengalir surut dengan lancar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Setakat 4 petang ini, jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di empat buah pusat pemindahan, masing-masing di bahagian Kuching, Lundu dan Sematan, masih kekal dengan 133 orang daripada 32 keluarga seperti yang dicatat pada 12 tengah hari tadi

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak dalam kenyataannya di sini berkata, di Kuching, 32 orang daripada sembilan keluarga yang terjejas akibat banjir ditempatkan di Dewan Sinar, Kampung Sungai Lumut manakala 27 orang lagi daripada lima keluarga berada di Surau Ar-Rahman di Kampung Sungai Batu.

Sementara itu, sejumlah 42 orang daripada 11 keluarga ditempatkan di Balai Raya Kampung Paon, Lundu, dan 32 orang daripada tujuh keluarga ditempatkan di Pusat Pemindahan Sekolah Kebangsaan Sebat, Sematan.- Bernama

Artikel Berkaitan: