GLC perlu kembali kepada fitrah asal

GLC turut berperanan membantu dan menyokong usahawan PKS.
GLC turut berperanan membantu dan menyokong usahawan PKS.
A
A
A

KERAJAAN hari ini perlu merebut peluang memperkukuh kepercayaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bumiputera menerusi penyusunan semula peranan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam membantu usahawan bumiputera.

Fitrah atau objektif sebenar GLC perlu dikembalikan dan dijunjung oleh kerajaan, setiap ahli lembaga pengarah dan ketua pegawai eksekutif serta barisan kepimpinan kanan GLC berkaitan.

Keteguhan hati mereka dalam memperjuangkan kepentingan usahawan bumiputera perlu dibugarkan kembali.

Telah tiba masanya kerajaan menubuhkan atau setidak-tidaknya menjenamakan semula Biro Tata Negara (BTN) kepada nama baru contohnya Pusat Pembangunan Daya Saing GLC.

Pusat ini antara peranannya melatih dan membina jati diri setiap ahli lembaga pengarah dan pasukan pengurusan utama GLC.

Pada masa sama ia boleh berperanan memantau prestasi GLC dan komitmen mereka dalam membantu SME Bumiputera.

Budaya kitar semula pemimpin GLC perlu dihentikan khususnya buat mereka yang ternyata tidak berprestasi tinggi.

Objektif GLC tidak lagi boleh terfokus kepada pasaran dalam negara sahaja tetapi serantau dan antarabangsa.

Artikel Berkaitan:

Mereka perlu punya perancangan jelas tentang kaedah membawa sama SME bumiputera dalam perniagaan mereka baik di peringkat nasional mahupun antarabangsa.

Adalah tidak mustahil untuk melihat GLC Malaysia tersenarai dalam Fortune 500 jika usaha bersepadu benar-benar diusahakan.

Pasti banyak SME bumiputera akan mendapat manfaat sekiranya GLC kembali kepada 'fitrah' asalnya. Tidak mustahil juga untuk melihat SME itu memjadi syarikat besar dan berjaya hingga tersenarai dalam Bursa Malaysia, antarabangsa ataupun Fortune 500.

Seperkara lagi aspek remuneration package atau pakej imbuhan untuk pengurusan atasan juga harus dikaji semula. Imbuhan perlu selari dengan prestasi. Beri imbuhan mengikut kategori prestasi contohnya nasional, serantau, antarabangsa dan Fortune 500.

*Prof Dr Haim Hilman ialah pensyarah Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan Universiti Utara Malaysia UUM