Rakyat Kelantan kembali solat Jumaat

Antara jemaah yang hadir untuk solat Jumaat di Masjid Muhammadi hari ini.
Antara jemaah yang hadir untuk solat Jumaat di Masjid Muhammadi hari ini.
A
A
A

KOTA BHARU – Jemaah Masjid Muhammadi di sini menarik nafas lega apabila apabila mereka sudah dibenarkan menunaikan solat Jumaat selepas tiga bulan tidak menjejakkan kaki ke masjid itu.

Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan mereka terpaksa bersabar dan sentiasa menunggu untuk kembali mengimarahkan masjid.

Bagaimanapun jemaah perlu saling bertolak ansur kerana hanya jumlah tertentu dibenarkan selain prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Tinjauan Sinar Harian di masjid itu mendapati jemaah mengikut SOP yang ditetapkan iaitu dengan memakai penutup muka dan membawa sejadah sendiri.

Mereka dilihat beratur mengikut jarak yang sepatutnya sebelum pemeriksaan suhu dilakukan dan dibenarkan masuk ke dalam masjid melalui laluan sanitasi khas yang disediakan.

Jemaah perlu melalui terowong sanitasi sebelum masuk ke dalam masjid
Jemaah perlu melalui terowong sanitasi sebelum masuk ke dalam masjid

Seorang jemaah, Nor Mohd Irwan Aziz, 36 tahun, berkongsi kegembirannya apabila dapat menunaikan solat Jumaat bersama anak lelakinya, Mohd Adif Iskandar, 13, hari ini.

“Memang teruja sangat, bila dapat tahu berita tentang kebenaran menunaikan solat ini, saya terus berdoa semoga diberikan ruang hari ini untuk kembali solat di masjid.

Artikel Berkaitan:

“Saya keluar rumah sejak jam 11.30 pagi bagi memastikan tidak terlambat dan ruang masih ada untuk kami berdua. Sebelum PKP kami datang jam 1 tengah hari,” katanya.

Irwan yang tinggal di Jalan Kebun Sultan itu di antara 920 jemaah yang memenuhi ruang masjid untuk solat Jumaat hari ini.

Imam Tua Masjid Muhammadi, Kota Bharu, Sobri Abdullah berkata, sebelum ini kapasiti masjid tersebut untuk 2,500 orang namun dengan SOP penjarakkan masjid tersebut boleh menampung 920 jemaah sahaja.

“Kami harap masyarakat memahami dan patuh pada arahan yang ditetapkan. Insya-ALLAH kami cuba menyediakan ruang sebaik mungkin kepada semua supaya dapat mengimarahkan kembali masjid.

“Apa yang penting, mereka tidak bergejala, memakai topeng muka, mendaftar dan memeriksa suhu. Sepanjang berada di masjid juga mereka perlu patuh pada semua arahan yang telah dikeluarkan,” katanya.

Sobri juga memberitahu, solat dan khutbah hanya berlangsung tidak melebihi 20 minit mengikut arahan yang ditetapkan.