Harga ayam mendadak: KPDNHEP Melaka keluar 18 notis

Azudin bertanyakan alasan kenaikan harga ayam kepada salah seorang peniaga di pasar itu.
Azudin bertanyakan alasan kenaikan harga ayam kepada salah seorang peniaga di pasar itu.
A
A
A

MELAKA TENGAH - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka mengeluarkan 18 notis terhadap pengeluar, pemborong dan peruncit berikutan kenaikan harga ayam secara mendadak di pasar-pasar awam negeri ini.

Ketua Pegawai Penguatkuasaan Negeri, Mohd Aizudin Muhamad Said berkata, kenaikan harga ayam dikesan selepas tamat tempoh skim Harga Maksimum Musim Perayaan daripada harga ayam standard RM7.50 sekilogram hingga mencecah RM9.

Menurutnya, notis tersebut telah dikeluarkan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 kepada pengeluar, pemborong dan juga peruncit ayam termasuk 10 di Pasar Besar Bachang, empat di Jasin dan selebihnya di Alor Gajah.

Penguat kuasa KPDNHEP Melaka mengeluarkan notis Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Pencatutan 2011 kepada peniaga ayam di Pasar Besar Bachang, di sini hari ini.
Penguat kuasa KPDNHEP Melaka mengeluarkan notis Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Pencatutan 2011 kepada peniaga ayam di Pasar Besar Bachang, di sini hari ini.

"Berdasarkan pertemuan kita bersama peruncit mereka memberikan maklum balas menerima harga ayam daging RM7.80 hingga RM7.90 sekilogram daripada peladang dan terpaksa menaikkan sedikit harga bagi menampung kos pengurusan.

"Jadi kita bagi tempoh selama lima hari waktu bekerja kepada peniaga untuk memberi maklum balas notis yang telah dikeluarkan kepada mereka," katanya ketika membuat pemantauan harga ayam daging di Pasar Besar Bachang, di sini hari ini.

Jelasnya, berdasarkan maklum balas itu, pihaknya akan meneliti maklumat harga jualan sebenar dan juga kos sebelum menentukan terdapat peniaga melakukan aktiviti pencatutan atau sebaliknya.

Sekiranya didapati melakukan aktiviti itu dengan menaikkan harga tidak munasabah, pihaknya tidak teragak-agak mengambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 yang jika sabit kesalahan, pelaku boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, manakala bagi syarikat pula boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, peniaga, Zawawi Yusof berkata, beliau terpaksa menaikkan harga ayam sebanyak RM9.10 sekilogram bagi menampung kos pengurusan dan upah gaji pekerja lebih-lebih lagi peladang menaikkan harga RM8 sekilogram.

"Kami pun beli ayam dengan harga mahal dan sejak musim perayaan telah beberapa kali peladang menaikkan harga dari 40 sen ke 50 sen dan terakhir sekali 30 sen," katanya.