KDN umum insentif pegawai, anggota bertugas di pedalaman

Hamzah Zainudin
Hamzah Zainudin
A
A
A

IPOH - Kira-kira 1,200 pegawai dan anggota yang bertugas di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerima faedah Bayaran Insentif Mengikut Lokasi dan Tahap Kesusahan (BIMLTK) mulai 1 Jun lalu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, insentif itu diluluskan sebagai tanda penghargaan dan galakan kepada pegawai serta anggota daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Sukarelawan (Rela) serta Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang berkhidmat di kawasan pedalaman.

“Kerajaan telah bersetuju meluluskan pemanjangan BIMLTK kepada empat jabatan atau agensi di bawah KDN mulai 1 Jun 2020.

“Kelulusan ini memberi faedah kepada 1,200 pegawai dan anggota yang bertugas di 98 fasiliti jabatan dan agensi KDN,” katanya pada sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Pangkat Posthumous, Skim Ex-Gratia Bencana Kerja PDRM dan Faedah Terbitan bagi Sarjan Safwan Mohamad Ismail di Mes Pegawai Kanan Bridged Utara Ulu Kinta di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador dan Ketua Setiausaha KDN, Datuk Jamil Rakon.

Menurutnya, BIMLTK dibayar sebanyak RM500, RM1,000 dan RM1,500 setiap bulan mengikut tiga kategori pedalaman.

“Kriteria kategori pedalaman berdasarkan bilangan mod pengangkutan, risiko perjalanan, sumber air dan elektrik, kediaman, sanitasi, telekomunikasi dan perkhidmatan seperti kesihatan, sekolah, bank dan lain-lain.

“Pecahan perjawatan yang terlibat ialah PDRM sebanyak 1,064 perjawatan, JIM (29), Rela (14) dan JPN pula 93 perjawatan yang melibatkan mereka yang bertugas di fasiliti KDN di beberapa negeri termasuk Sabah dan Sarawak,” katanya.

Artikel Berkaitan: