115 ilmuan PhD sokong kepimpinan Muhyiddin

Tan Sri Muhyiddin Yassin
Tan Sri Muhyiddin Yassin
A
A
A

SHAH ALAM - Seramai 115 ilmuan berkelulusan PhD daripada universiti tempatan mengeluarkan kenyataan bersama bagi menyeru sokongan terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Mereka terdiri daripada dua profesor emeritus, 22 profesor, 33 profesor madya dan 58 pensyarah kanan daripada 21 universiti awam (IPTA) dan empat universiti dan kolej universiti swasta (IPTS).

"(Kami) menyeru supaya semua golongan rakyat memberi penghormatan dan sokongan penuh kepada kerajaan semasa yang diketuai oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri untuk mengemudi negara sehingga dikembalikan mandat untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) mengikut peruntukan ditetapkan Perlembagaan Persekutuan.

"Menyeru supaya semua pihak akur kepada sistem politik Malaysia yang berteraskan kedaulatan Raja-Raja, keluhuran perlembagaan dan sistem demokrasi berparlimen serta menghentikan sebarang propaganda dan usaha yang boleh menggugat kestabilan politik demi memastikan kesejahteraan rakyat dan kemajuan negara terpelihara," kata kenyataan itu hari ini.

Mereka juga meminta semua pihak mengangkat tinggi nilai-nilai kemanusiaan dan keagamaan, melaksanakan urus tadbir yang baik serta memastikan kontrak sosial dan peruntukan teras Perlembagaan Persekutuan khususnya identiti nasional yang berlandaskan identiti Melayu-Muslim, dipatuhi setiap masa.

Selain itu, mereka menyeru semua parti politik yang membentuk kerajaan semasa bergabung secara rasmi dalam Perikatan Nasional (PN) manakala barisan pembangkang dari Pakatan Harapan (PH) membentuk Kabinet bayangan sendiri bagi memainkan peranan semak dan imbang.

"Kenyataan media ini dibuat dan dikumpulkan secara sukarela oleh kami semua hanya dalam tempoh tiga hari sahaja atas kesedaran tinggi kami bahawa suara golongan seperti kami mampu mencorakkan hala tuju negara di saat kita sedang berhadapan dengan tempoh kritikal.

"Besarlah harapan kami agar suara kami ini dipandang berat oleh semua pihak yang berkenaan mahupun oleh seluruh rakyat kerana di belakang kami terdapat ratusan lagi Ilmuwan PhD IPT Malaysia menyokong kuat usaha kami tanpa mahu mendedahkan nama mereka," kata kenyataan itu lagi.

Artikel Berkaitan:

Menurut kenyataan itu, persoalan lanjut yang mungkin berbangkit daripada kenyataan bersama itu boleh diajukan kepada jurucakap mereka, Profesor Datuk Dr Teo Kok Seong dari UKM, Profesor Dr Ridhuan Tee Abdullah dari UniSZA dan Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod dari UIAM.

Sementara itu, Kok Seong ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan kenyataan itu berkata, mereka menyokong kerajaan yang ada, itu dari satu segi namun lebih penting lagi adalah mereka prihatin terhadap kestabilan politik demi memastikan kesejahteraan rakyat dan kemajuan negara terpelihara.