Bursa Malaysia dibuka rendah

No Image Caption
A
A
A

BURSA Malaysia dibuka rendah hari ini dengan indeks utama mencatatkan prestasi dagangan di bawah paras 1,500 berikutan diseret turun oleh aktiviti penjualan saham berwajaran tinggi terpilih.

Pada jam 9.05 pagi, penanda aras, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 5.76 mata kepada 1,499.15 daripada 1,504.91 ketika ditutup pada Khamis.

Indeks itu dibuka 6.95 mata lebih rendah pada 1,497.96.

Di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 167 berbanding 162 manakala 224 kaunter tidak berubah, 1,398 kaunter tidak diniagakan dan 37 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 291.92 juta unit bernilai RM104.35 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd menerusi nota penyelidikan berkata, prestasi turun naik tidak menentu akan kekal bagi jangka pendek memandangkan pelabur pantas memanfaatkan kenaikan dalam keadaan wujudnya sebarang petanda negatif.

"Sementara itu, penurunan jumlah dagangan sehingga paras terendah bagi tempoh sejak akhir April 2020 juga menunjukkan sentimen pelabur yang menghindari risiko buat masa ini,” menurutnya.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi Bursa Malaysia, Public Bank turun 18 sen kepada RM16.62, Top Glove susut 20 sen kepada RM14.50, Maybank kurang empat sen kepada RM7.67, Petronas Chemicals menguncup lima sen kepada RM6.33 dan Hartalega turun 10 sen hingga RM11.40.

Artikel Berkaitan:

IHH Healthcare menambah dua sen kepada RM5.42, MISC melonjak 11 sen kepada RM7.91 manakala TNB dan Maxis masing-masing tidak berubah pada RM11.80 dan RM5.33.

Bagi saham paling aktif, MQ Technology dan Perak Transit masing-masing naik satu sen kepada lima sen dan 19 sen, Eden menambah tiga sen kepada 19 sen, KNM tidak berubah pada 25 sen, sementara ConnectCounty dan PDZ masing-masing turun setengah sen kepada 34 sen dan 3.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 30.86 mata kepada 10,551.01, Indeks FBMT 100 turun 33.03 mata kepada 10,403.5 dan FBM 70 menguncup 12.53 mata kepada 12,941.49.

Indeks FBM Emas Syariah naik 20.55 mata kepada 11,909.07, dan FBM ACE turun 20.14 mata kepada 5,885.26.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian kurang 0.20 mata kepada 134.52, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 63.49 mata kepada 13.011.28 sementara Indeks Perladangan turun 21.98 mata kepada 6.691.42. - Bernama