'Jangan berkelah, mandi-manda di Air Terjun Belukar Bukit'

Suasana di sekitar air terjun Kampung Belukar Bukit yang masih dikunjungi orang awam yang degil. -Foto: ihsan IPD Hulu Terengganu
Suasana di sekitar air terjun Kampung Belukar Bukit yang masih dikunjungi orang awam yang degil. -Foto: ihsan IPD Hulu Terengganu
A
A
A

HULU TERENGGANU - Orang ramai diingatkan jangan berkelah atau bermandi-manda di kawasan Air Terjun Belukar Bukit, Kuala Berang di sini kerana lokasi berkenaan memang tidak sesuai untuk menjalankan aktiviti riadah.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, kawasan rekreasi berkenaan sebenarnya sudah hampir dua tahun ditutup kepada orang awam, bagaimanapun pihaknya menerima aduan ada pengunjung yang masih 'mencuri' masuk ke kawasan tersebut.

Katanya, kedegilan orang ramai mematuhi arahan penutupan ini terutamanya orang luar dari negeri atau kawasan ini menjadi punca berlaku kejadian malang sehingga mengorbankan nyawa.

"Buat pengetahuan umum, lokasi air terjun ini memang tidak dibenarkan dikunjungi orang ramai dan sebelum ini pihak berkuasa sudah mengambil pelbagai langkah berjaga-jaga, antaranya memasang kain rentang dan papan tanda di sekitar kawasan.

"Tetapi pengunjung sengaja tidak mahu ikut. Sebenarnya air terjun di sini sangat berbahaya kerana memang kita akan nampak airnya dari atas sangat cetek sahaja, tetapi sebenarnya di bawah itu ada pusaran air.

"Lebih-lebih lagi pada keadaan cuaca hari ini di Hulu Terengganu memang setiap petang selalu hujan dan menyebabkan air sungai agak deras yang sekaligus berisiko kepada pengunjung," katanya kepada pemberita ketika ditemui di pejabatnya di sini hari ini.

Mohd Adli berkata, kawasan air terjun ini sudah merekodkan empat tragedi yang meragut lima nyawa sejak tahun lepas, malah tahun ini sahaja sudah dua tragedi berlaku iaitu pada 16 Mac dan terbaharu semalam yang meragut nyawa seorang remaja 14 tahun, Muhammad Affizie Irffanshah Mazita @ Jamal.

Katanya, pihaknya menasihati orang ramai tidak melakukan aktiviti riadah di pusat rekreasi sama ada di air terjun dan sungai kerana lokasi berkenaan masih tidak selamat berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu hari ini.

Artikel Berkaitan:

"Meskipun Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) membenarkan kawasan rekreasi dan aktiviti riadah, tetapi orang ramai dinasihati sentiasa berwaspada ketika melakukan aktiviti di lokasi ini," katanya.

ARTIKEL BEKAITAN: Pelajar lemas mandi air terjun

Semalam, Sinar Harian melaporkan kegembiraan 18 sekeluarga bermandi-manda di tempat perkelahan Air Terjun Belukar Bukit, Kuala Berang di sini bertukar menjadi tragedi apabila seorang daripada mereka ditemukan lemas.

Mayat Muhammad Affizie Irffanshah Mazita@Jamal,14, dari Kampung Padang Kemunting, Batu Rakit, Kuala Nerus ditemukan dua anggota bomba penyelamat kira-kira jam 12.15 tengah hari.