X

Kindly register in order to view this article
!

Covid-19: Kejayaan besar hasil kepatuhan masyarakat

Dr Adham Baba - Foto ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A

DATUK Seri Dr Adham Baba genap 98 hari menjadi Menteri Kesihatan pada Isnin lalu ketika wabak Covid-19 mula menunjukkan tanda-tanda berjaya dikawal di negara ini. Begitupun, doktor perubatan berusia 57 tahun itu mengingatkan rakyat Malaysia bahawa perang melawan virus maut tersebut belum berakhir.

“Mereka perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan sekurang-kurangnya sehinggalah vaksin ditemui,” kata beliau dalam wawancara eksklusif bersama Sinar Harian.

Dr Adham memberitahu, jika rakyat mengambil mudah isu itu, Malaysia mungkin mengulangi insiden di China apabila wabak itu kembali tercetus walaupun sebelum itu republik berkenaan sudah diisytiharkan bebas sepenuhnya daripada Covid-19.

Dalam wawancara itu yang berlangsung di bangunan Kementerian Kesihatan di Jalan Cenderasari, Kuala Lumpur, beliau turut berkongsi mengenai cabaran perkhidmatan perubatan dalam zaman Covid-19 selain ancaman demam denggi yang terus muncul dari hari ke hari.

SINAR HARIAN: Menjelang genap 100 hari Datuk Seri menjawat jawatan Menteri Kesihatan, apakah perasaan Datuk Seri?

DR ADHAM: Alhamdulillah, saya bersyukur kepada ALLAH SWT kerana dewasa ini kita telah pun dapat menubuhkan kerajaan Perikatan Nasional yang diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri yang sangat terkehadapan dalam mendepani wabak Covid-19.

Cabaran itu bukan sahaja dihadapi di peringkat negara tetapi kita juga berdepan gelombang jangkitan Covid-19 di serata dunia.

Covid-19 ini merupakan satu cabaran yang sangat hebat dan kita kena tempuhinya bersama. Saya bersyukur kerana rakyat Malaysia sangat fokus dan memberikan kerjasama baik terhadap apa juga langkah kerajaan.

Prosedur operasi standard (SOP) untuk menangani Covid-19 yang dilaksanakan ketika ini membentuk satu disiplin baharu dalam kalangan rakyat. Sampai bilakah SOP ini akan berterusan?

SOP ini adalah antara langkah pencegahan dan pengawalan yang termaktub dalam Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988).

Kita perlu mengawal penularan jangkitan Covid-19 yang juga virus baharu.

Antara langkah bagi memastikan kita dapat mengekang penularan Covid-19 adalah dengan mewujudkan SOP, dengan kata lain, garis panduan.

Ini satu daripada elemen pencegahan yang dikawal sendiri oleh masyarakat dalam menghadapi dengan wabak tersebut.

Ia satu aspek kendiri yang dilakukan secara sukarela dan kini menjadi normal baharu dalam kehidupan rakyat Malaysia.

Perkara itu akan berterusan sehinggalah ada vaksin ditemui dan ia sedang dibangunkan oleh beberapa syarikat di seluruh dunia.

Malaysia juga cuba membangunkan vaksin dengan kerjasama negara lain yang turut terdedah kepada Covid-19.

Antara SOP yang paling ketara ialah penjarakan sosial mengikut panduan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Ini salah satu daripada empat protokol dalam menghadapi Covid-19. Protokol ini termasuklah kawalan sempadan dengan menyekat kemasukan warga asing ke dalam negara.

Rakyat kita yang mahu pulang dari luar negara pula perlu mengikut SOP yang ditetapkan.

Protokol lain ialah kawalan pergerakan yang kita laksanakan menerusi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan meminta rakyat duduk di rumah bagi menyekat penularan wabak dan meratakan lengkungan graf jangkitan.

Orang ramai juga diminta menjaga kebersihan diri dengan kerap membasuh tangan. Semua SOP ini akan berlarutan sehinggalah kita menemui vaksin.

Sebab itu kita mahu masyarakat memainkan peranan melalui kendiri dengan mengelakkan tiga 3S iaitu kawasan sesak, sempit dan bersembang dalam jarak dekat.

Dr Adham (kanan) dan Fadillah (kiri) pada mesyuarat khas Covid-19 di Pusat Jantung Sarawak dekat Kota Samarahan semalam.
Dr Adham (kanan) dan Fadillah (kiri) pada mesyuarat khas Covid-19 di Pusat Jantung Sarawak dekat Kota Samarahan semalam.

Bagaimana penyelarasan dibuat dengan agensi lain bagi memantau kepatuhan rakyat terhadap SOP ini?

Ketika PKP dilaksanakan, Menteri Kesihatan mempunyai kuasa untuk memastikan penularan jangkitan dapat dikawal dan dicegah.

Kuasa itu boleh diturunkan kepada menteri, pegawai-pegawai dan anggota penguat kuasa kementerian serta agensi terlibat seperti Menteri Dalam Negeri, polis dan pihak berkuasa tempatan bagi menguatkuasakan peraturan di bawah akta berkenaan.

SOP yang diwartakan itu mudah dipatuhi. Pertama, dengan mendapatkan maklumat yang tepat dan terkini. Hari ini di premis atau kedai, kita nampak majikan sudah meletakkan tanda jarak 1 meter untuk pelanggan beratur.

Kemudian mengambil suhu badan dan merekodkan nama supaya dapat mengesan individu berkenaan jika berlaku jangkitan di lokasi berkenaan.

Orang ramai boleh menggunakan aplikasi MySejahtera bagi mendapatkan maklumat berkaitan Covid-19.

Covid-19 muncul kembali di China baru-baru ini selepas 55 hari negara itu menamatkan 'lockdown'. Apakah pengajaran yang boleh kita ambil?

Ini satu maklumat penting. Apabila pandemik berlaku, kita bukan sahaja membaca ataupun menilai kes-kes dalam negara. Kita juga meneliti kes yang berlaku di luar negara, contohnya China yang merekodkan jangkitan semula.

Kita perlu ingat bahawa kita tidak boleh leka menunaikan tanggungjawab mematuhi SOP. Kita perlu memastikan tiada kemasukan warga asing dan terus patuh pada PKP, penjarakan sosial dan melindungi diri dengan mengutamakan kebersihan.

Pelajaran yang kita dapat dari negara luar ini ialah kita masih perlu berhati-hati sehinggalah vaksin ditemui. Sekiranya vaksin sudah ditemui pun, kita masih perlu mengamalkan normal-normal baharu.

Apakah faktor utama yang menyumbang kepada kejayaan Malaysia sehingga diiktiraf sebagai antara lima negara terbaik di dunia dalam menangani wabak Covid-19?

Alhamdulillah, kita sebenarnya dapat melihat dari mula kes dikesan pada Januari 2020 sehingga hari ini, kita berjaya meratakan lengkungan graf kes jangkitan sehingga satu digit.

Pada 14 Februari lalu, JP Morgan meramalkan kemungkinan besar Malaysia akan mencatatkan peningkatan kes kumulatif jangkitan hingga 6,000 kes (pada April). Tetapi alhamdulillah kita berjaya sekat Covid-19 di bawah 4,000 kes bagi tempoh tersebut.

Ini satu kejayaan besar hasil kepatuhan masyarakat terhadap SOP dengan duduk di rumah bagi mengehadkan pergerakan di samping dedikasi pasukan kesihatan serta petugas barisan hadapan.

Kita mulakan dengan PKP dan kita juga ada PKP Diperketatkan di kawasan tertentu. Kemudian PKP Bersyarat yang menyaksikan hampir separuh sektor ekonomi dibenarkan beroperasi semula.

Apabila rakyat patuh dan kes Covid-19 menurun, maka sekarang kita dapat melaksanakan PKP Pemulihan. Ini kejayaan besar negara kita sejak bermulanya PKP pada 18 Mac sehingga PKPP hari ini.

Kita sebenarnya berjaya menurunkan kes kerana dua perkara yang kita lakukan.

Pertama, kita pastikan setiap kes Covid-19 yang dijangkiti dimasukkan ke hospital untuk dirawat, sama ada mereka bergejala atau tidak. Kita menggazetkan tujuh hospital khas Covid-19 dan 40 hospital lain untuk saringan.

Kedua, kita juga kuarantin wajib 14 hari bagi individu kontak rapat (PUI) kes positif tadi. Dua perkara ini sangat dikagumi masyarakat dunia.

Ini semua hasil kerjasama antara semua pihak bukan sahaja daripada pengurusan tertinggi negara tetapi juga petugas barisan hadapan dan masyarakat.

Terima kasih juga kepada media dan barisan hadapan media sosial yang sentiasa memberikan maklumat terkini kepada masyarakat.

Selain itu, perkara besar yang dilakukan negara ialah menyediakan sebuah pusat rawatan dan kuarantin dengan cepat iaitu di MAEPS Serdang bagi menempatkan kes gejala rendah dan kurang berisiko.

Walaupun Covid-19 tiada rawatan khusus tetapi rawatan yang diberikan di hospital menyebabkan kadar kesembuhan kita meningkat melebihi 86 peratus.

Dr Adham Baba - Foto ASRIL ASWANDI SHUKOR
Dr Adham Baba - Foto ASRIL ASWANDI SHUKOR

Apakah cabaran besar bidang kesihatan dan perubatan di Malaysia sekarang?

Dari hari ke hari, penyakit yang baru muncul seperti Covid-19 merupakan salah satu cabaran baharu kesihatan awam.

Untuk membangunkan vaksin juga satu cabaran besar kepada negara dan dunia. Hendak bangunkan vaksin ini perlu melihat kesesuaian dan kesan sampingan.

Kedua, kita berdepan dengan berita-berita palsu terutama melibatkan maklumat yang mengelirukan. Ada berita palsu kononnya berlaku kes jangkitan dan kematian akibat Covid-19 di sesuatu kawasan.

Kita juga selalu berhadapan dengan keadaan di mana mereka tidak dapat rawatan kerana kekurangan maklumat.

Sebab itu sehingga hari ini, kita menyarankan supaya masyarakat mendapatkan maklumat tepat daripada daripada media, aplikasi MySejahtera dan sebaran maklumat daripada Kementerian Kesihatan.

Di KKM, cabaran kita adalah untuk memastikan data-data dan ketulenan data tersebut dapat disiarkan.

Kita bertuah kerana Perdana Menteri turut mengumumkan beberapa langkah menyelamatkan ekonomi negara ketika zaman Covid-19 iaitu Pakej Prihatin, Prihatin Tambahan dan Penjana.

Ketua Pengarah Kesihatan sendiri (Datuk Dr Noor Hisham Abdullah) setiap hari jam 5 petang menyalurkan maklumat kesihatan di samping Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang akan menjelaskan isu berkaitan keselamatan.

Saya sebagai Menteri Kesihatan, tugas yang paling penting saya ialah membuat kesiapsiagaan termasuk kemudahan di hospital, makmal ujian, tenaga manusia dan petugas kesihatan.

Bagaimana Datuk Seri melihat kecekapan petugas pasukan perubatan sejak tiga bulan lalu dalam berdepan Covid-19?

Kita memiliki pasukan kesihatan terbaik di hospital dan kemudahan kesihatan awam itu sendiri. Tahap kesiapsiagaan menyebabkan kita dapat menangani wabak ini dengan baik.

Di peringkat hospital, kita ada pakar penyakit berjangkit dalam merawat kes-Covid-19 di samping pakar yang mengendalikan ventilator di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Rawatan itu terbukti berkesan apabila kadar kesembuhan mencapai 86 peratus.

Hari ini, selain daripada jumlah kes yang menurun sehingga satu digit, kita juga melihat kadar pesakit discaj meningkat.

Pasukan di peringkat kesihatan awam terdiri daripada doktor, jururawat dan penolong pegawai perubatan yang pergi ke lapangan apabila terdapat kes positif melibatkan sesuatu kluster.

Mereka ini membuat saringan dan ujian swab bagi menentukan tahap rawatan yang diperlukan pesakit, langkah kuarantin selain memberi arahan sama ada individu berisiko perlukan ujian semula dalam tempoh inkubasi wabak berkenaan.

Pasukan perubatan dan barisan hadapan telah membuat yang terbaik dan perkara ini diakui oleh pasukan perubatan dari China yang datang ke negara kita pada akhir April lalu.

Mereka mengakui dan kagum dengan cara kita memberi tumpuan dalam menyekat penularan Covid-19 dan merawat pesakit.

Mengenai wabak denggi di negara ini, sejauh manakah ia mengancam kehidupan rakyat?

Selain Covid-19, kita hampir terlupa dengan kes demam denggi yang masih melanda masyarakat negara ini disebabkan oleh nyamuk aedes.

Untuk makluman, sejak 1 Januari hingga 13 Jun 2020, sebanyak 50,511 kes telah direkodkan dengan 88 kematian berbanding 56,819 kes dan 88 kematian tahun lalu.

Jika kita lihat kadar kematian adalah sama tetapi jumlah kes demam denggi pada tahun ini menunjukkan penurunan.

Pelaksanaan PKP sedikit sebanyak membantu kita duduk di rumah dan menjaga kebersihan persekitaran kediaman masing-masing. Bagaimanapun, kita tidak boleh alpa atau leka dengan wabak demam denggi ini.

Sekiranya ada gejala demam denggi di satu-satu kawasan, kita tahu sumbernya adalah nyamuk aedes yang membiak di dalam takungan air bersih. Jadi kita perlu pastikan tempat pembiakan nyamuk aedes ini dapat dihapuskan.

Pasukan vektor mencegah demam denggi akan melakukan fogging di sekitar radius 200 meter dari kawasan wabak itu dikenal pasti. Perkara ini amat penting kerana kita memerlukan kerjasama rapat daripada masyarakat setempat.

Setakat ini, kita mempunyai pasukan yang bersama-sama mencegah wabak denggi ini melalui pasukan COMBI (Komunikasi untuk Perubahan Tingkah Laku) yang diperkenalkan untuk menangani masalah denggi di Malaysia.

Buat masa ini, kita ada 2,954 pasukan COMBI di seluruh negara dengan penglibatan 25,531 sukarelawan. Mereka memainkan peranan dan bekerjasama dengan KKM bagi mengekang wabak denggi. Untuk itu, pelbagai aktiviti dilakukan termasuk melaksanakan gotong-royong membersihkan kawasan rumah dan memastikan kawasan persekitaran rumah tiada air bertakung yang membolehkan jentik-jentik membiak.

Tahun lalu KKM bercadang meminda undang-undang sedia ada bagi mewajibkan suntikan vaksin untuk kanak-kanak terutamanya vaksin difteria dan vaksin MMR. Apakah perkembangannya sekarang?

Vaksin atau imunisasi adalah salah satu cara yang berkesan untuk melindungi kanak-kanak dan penduduk negara ini daripada jangkitan penyakit.

Imunisasi ini diberi secara percuma kepada kanak-kanak di semua klinik kesihatan KKM terutamanya vaksin BCG-TB (batuk kering) seawal bayi itu dilahirkan. Justeru, ibu bapa juga perlu tahu jadual-jadual pengambilan vaksin sejak hari pertama kelahiran bayi mereka.

Selain itu, kanak-kanak turut diberikan imunisasi bagi penyakit Hepatitis B, difteria (sakit kerongkong), pertusis (batuk kokol), tetanus (sawan dalam kalangan bayi baru lahir), HiB (jangkitan paru-paru atau jangkitan selaput otak), polio dan juga MMR (demam campak, beguk dan rubela).

Vaksin-vaksin ini diberikan mengikut dos yang ditetapkan pada tempoh masa tertentu. Vaksin adalah bentuk imunisasi yang boleh mencegah penyakit daripada berjangkit dan kita melihat keperluan akta untuk vaksinasi ini.

Begitupun sehingga kini, ada juga kumpulan tertentu yang tidak mahu memberi imunisasi kepada anak-anak mereka. Oleh itu, kita perlu meminda akta agar vaksinasi ini dapat kita berikan kepada semua kanak-kanak pada waktu yang diperlukan.

Adakah KKM akan menambah jumlah pengambilan pelajar-pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia untuk kursus kejururawatan, kesihatan, kedoktoran dan sebagainya bagi menampung keperluan perkhidmatan kesihatan pada masa akan datang?

Perkhidmatan kesihatan adalah satu daripada bidang penting yang disediakan oleh kerajaan dan ia sentiasa berkembang dari masa ke masa. KKM kini mempunyai 254,000 kakitangan di seluruh negara yang bertugas di barisan hadapan, klinik dan hospital, makmal, institut penyelidikan serta di kementerian sendiri.

Melihat kepada jumlah kakitangan warga KKM pada hari ini, ia boleh dikatakan sesuai dan mencukupi untuk memberikan perkhidmatan kepada masyarakat.

Dengan jumlah kakitangan sebanyak itu, kita berjaya menangani penularan wabak Covid-19, namun begitu, pengambilan pekerja baharu masih perlu dilakukan untuk mengisi kekosongan berdasarkan unjuran tahunan.

Untuk itu, lepasan SPM yang layak boleh memohon untuk memasuki institusi latihan kesihatan yang ada menawarkan program berkaitan sekali gus berpeluang menjadi salah seorang warga KKM pada masa akan datang.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!