X

Kindly register in order to view this article
!

Langgar PKP: Kes Prabakaran diklasifikasi sebagai NFA

P Prabakaran
A
A

KUALA LUMPUR - Polis mengklasifikasikan kes membabitkan Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran yang ditahan sebelum ini atas dakwaan melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebagai NFA (tiada tindakan lanjut).

Menerusi satu kenyataan hari ini, Prabakaran berkata, beliau dimaklumkan mengenai hasil siasatan kes itu oleh pihak polis beberapa hari lalu.

Prabakaran turut berterima kasih kepada pihak polis kerana telah menjalankan siasatan yang adil berhubung siasatan kes itu.

"Tidak lupa kepada seluruh warga di Parlimen Batu yang mendoakan kesejahteraan buat saya dan pasukan," katanya.

Pada 20 April lalu, polis mengesahkan penahanan dua lelaki termasuk Prabakaran kerana dipercayai melanggar arahan PKP di Taman Sri Murni di sini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, dua lelaki berusia 24 dan 40 tahun itu ditahan di lokasi berkenaan kerana melanggar PKP berhampiran kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

ARTIKEL BERKAITAN: Ahli Parlimen Batu dakwa ditahan polis ketika buat tinjauan

Polis sahkan Ahli Parlimen Batu ditahan kerana langgar PKP

Mengulas mengenai penahanan itu, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Wilayah Persekutuan itu berkata, beliau tidak pasti mengapa ditahan semasa menjalankan tugas sedangkan ramai pihak lain turut menghadiri majlis keramaian pada masa itu.

"Banyak tohmahan dan berita palsu tersebar semasa penahanan saya, ramai pula yang menyoal niat saya keluar semasa PKP, kini segalanya terbukti.

"Saya hanya keluar untuk membantu masyarakat yang tertekan dan terpinggir di kawasan PKPD," katanya.

Mengulas lanjut katanya, beliau akan terus berkhidmat kepada rakyat bagi memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat khususnya di kawasan Parlimen Batu.

"Ketahuilah, jika kuasa politik yang digunakan untuk menutup mulut saya tempoh hari, ia tidak mampu menghentikan kerja-kerja kemasyarakatan saya.

"Jadi, percayalah segala cabaran dan dugaan yang diberikan itu akan menguatkan lagi usaha saya untuk berdiri dalam satu saf bersama warga Parlimen Batu," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!