Anak Najib akur tidak dipilih sebagai calon PRK DUN Chini

Mohd Nizar Mohd Najib
Mohd Nizar Mohd Najib
A
A
A

PEKAN - Ketua Pemuda UMNO Pekan, Mohd Nizar Mohd Najib menyambut baik keputusan ayahandanya, Datuk Seri Najib Tun Razak dan kepimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN) yang tidak memilih beliau sebagai calon bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, 4 Julai ini.

Beliau yang namanya disebut-sebut sebagai bakal calon UMNO-BN di PRK DUN Chini akur dengan pilihan tersebut, malah memberitahu telah memberi keputusan penuh kepada Najib yang juga Pengarah Operasi Pilihan Raya Kecil DUN Chini serta kepimpinan BN.

Beliau percaya, pemilihan Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Pekan, Mohd Sharim Md Zain yang diumumkan sebagai calon PRK mewakili BN hari ini dibuat dengan melihat pelbagai sudut bagi memberi kemenangan kepada parti itu.

"Ada rezeki saya boleh berkhidmat di masa akan datang. Saya reda dan memberi sokongan.

"Mohd Sharim disenangi dan dikenali ramai pemuda Chini dan selalu mengikuti arwah Datuk Abu Bakar Harun (penyandang terdahulu) bekerja.

"Saya percaya beliau boleh melakukan yang terbaik buat masyarakat dan komuniti dengan pengalaman yang dipelajari daripada arwah khasnya bagaimana menyantuni masyarakat Chini," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: PRK DUN Chini: Mohd Sharim Md Zain dipilih calon BN

Mohd Nizar berkata, pemilihan Mohd Sharim merupakan pengiktirafan buat anak muda terutama anak tempatan bagi menjadi pemimpin pelapis untuk menerajui kerusi Ahli Dewan Undangan Negeri.

Artikel Berkaitan:

"Beliau dikenali semua pengurus Felda dan tokoh tempatan yang lain. Bagi saya ini satu pilihan yang tepat.

"Sudah lama BN tak pertaruh calon anak muda untuk PRK," katanya.

Beliau turut memberitahu, pihaknya akan memberi sokongan terhadap pilihan BN itu dan akan mengerahkan jentera bagi memenangkan calon parti itu di kerusi berkenaan.