Sempat lari minta bantuan selepas ditikam

Mangsa yang cedera kini dirawat di hospital dan dilaporkan stabil.
Mangsa yang cedera kini dirawat di hospital dan dilaporkan stabil.
A
A
A

GEORGETOWN - Seorang warga emas cedera selepas ditikam sempat berlari dari Taman Jubli ke Kompleks Medan Suri, Sungai Nibong untuk mendapatkan bantuan sebelum terbaring dalam keadaan berlumuran darah, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, mangsa berusia 64 tahun itu dipercayai ditikam lelaki tidak dikenali di bahagian kanan perutnya kira-kira jam 2 petang.

"Mangsa yang berlumuran darah telah berlari dan meminta tolong daripada salah seorang peniaga di kompleks berkenaan.

"Mangsa kemudiannya rebah menyebabkan peniaga tersebut menghubungi bantuan kecemasan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, mangsa yang cedera dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut dan doktor mengesahkan terdapat koyakan sepanjang dua sentimeter di kanan perut mangsa.

"Tikaman dipercayai menggunakan objek tajam itu bagaimanapun tidak terkena pada organ dalaman mangsa," katanya.

Soffian berkata, mangsa yang bekerja sebagai penyampai motivasi di syarikat miliknya kini dilaporkan stabil.

Sementara itu katanya, hasil pemeriksaan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) Taman Jubli mendapati seorang lelaki menunggang motosikal dipercayai suspek dalam kes tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Suspek dipercayai lelaki, berkulit cerah, memakai baju berwarna kelabu dan seluar gelap.

"Bagaimanapun, jenis dan nombor pendaftaran motosikal yang ditunggang tidak dapat dipastikan," katanya.

Beliau berkata, pihaknya kini sedang mengesan suspek dan masih menyiasat motif kejadian.

Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan.