X

Kindly register in order to view this article
!

Polis Kelantan rampas dadah bernilai RM70,200

Abdul Rahim (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas pihaknya dalam ketiga-tiga serbuan.
A
A

KOTA BHARU - Polis Kelantan berjaya merampas 5,000 biji dadah jenis pil kuda bersama 52 gram syabu bernilai RM70,200 dalam tiga serbuan berasingan di sini.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, pihaknya berjaya menahan seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan di Kampung Panjang Binjai dalam serbuan pertama pada 16 Jun lalu pada jam 2 petang.

"Bagaimanapun, ketika ditahan, dia cuba melarikan diri dan kami menemui satu plastik lut sinar berisi ketulan kristal dipercayai dadah jenis syabu seberat 52 gram bernilai RM5,200 dalam poket seluar lelaki berusia 18 tahun itu.

"Hasil ujian saringan mendapati lelaki yang juga penganggur itu negatif dadah dan tidak mempunyai rekod lampau. Dia direman sehingga 23 Jun ini," katanya kepada media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu (IPD KB) di Pengkalan Chepa di sini hari ini.

Menurutnya, dua lelaki yang juga penganggur berusia 18 dan 24 tahun pula ditahan di atas sebuah motosikal ketika serbuan kedua kira-kira jam 5.30 petang pada hari yang sama di Kampung Demik, Kubang Kerian.

"Kedua-dua lelaki itu berada di tepi jalan dalam keadaan mencurigakan dan hasil pemeriksaan pihaknya mendapati, pembonceng yang juga pemuda berusia 18 tahun itu memegang plastik berwarna merah jambu berisi 15 peket disyaki pil kuda berjumlah 3,000 biji yang dianggarkan bernilai RM45,000.

"Ujian saringan mendapati kedua-dua lelaki tersebut negatif dadah. Mereka ditahan reman seminggu sehingga 23 Jun ini," katanya.

Katanya, dalam serbuan ketiga pada jam 7.30 malam di Kampung Panchor semalam pula, pihaknya menahan seorang lelaki berusia 24 tahun di dalam sebuah kenderaan berhampiran sebuah bangsal di kawasan tersebut.

"Hasil pemeriksaan, pihak kami menemui satu bungkusan plastik di dalam seluar dipakai lelaki tersebut dan menemui 2,000 biji disyaki pil kuda yang dianggarkan bernilai RM20,000.

"Ujian saringan mendapati lelaki itu positif dadah jenis methamphetamine dan turut mempunyai kesalahan lampau dalam penyalahgunaan dadah. Dia direman seminggu sehingga 24 Jun ini," katanya.

Abdul Rahim berkata, polis percaya ketiga-tiga lelaki tu sedang menunggu pelanggan di kawasan masing-masing dan giat mengedar dadah di kawasan tersebut.

"Kita percaya mereka mendapat bekalan yang dibawa dari negara jiran melalui pangkalan haram.

"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!