Covid-19: Belum ada ahli Angkasa gulung tikar

Abdul Fattah (kanan), Bakri (dua dari kiri) ketika melawat ladang ternakan Konsormas di Kampung Kuala Jerang hari ini.
Abdul Fattah (kanan), Bakri (dua dari kiri) ketika melawat ladang ternakan Konsormas di Kampung Kuala Jerang hari ini.
A
A
A

JELEBU - Pandemik koronavirus (Covid-19) tidak memberi kesan teruk kepada ahli Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) berikutan belum ada laporan ahli gulung tikar.

Presidennya, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, ia berikutan modal koperasi tersebut adalah berdasarkan kepada ahli dan pihaknya tidak bergantung modal daripada pihak ketiga.

"Jika ada krisis macam ini (Covid-19), ahli akan membuat keputusan dan mempelbagaikan, mengalihkan kepada perniagaan sedia ada kepada perniagaan yang lain.

“Saya tak nampak pandemik Covid-19 beri kesan teruk kepada koperasi kerana kita mempunyai strategi tersendiri," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja ke ladang ternakan Konsortium Kariah Masjid Malaysia Berhad (Konsormas) di Kampung Kuala Jerang di sini hari ini.

Hadir sama, Exco Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri Sembilan, Bakri Sawir; Pengerusi Perhubungan Angkasa negeri, Datuk Ibrahim Abdullah dan Penolong Pegawai Ehwal Ekonomi SKM Negeri Sembilan, Rafiq Razlan Abdul Razad.

Bakri (kiri), Abdul Fattah (tengah) ketika melawat ladang ternakan Konsormas di Kampung Kuala Jerang hari ini.
Bakri (kiri), Abdul Fattah (tengah) ketika melawat ladang ternakan Konsormas di Kampung Kuala Jerang hari ini.

Menurutnya, Angkasa mengenal pasti perniagaan baharu yang koperasi perlu lihat antaranya perniagaan yang boleh mendapatkan pulangan yang cepat antaranya aktiviti pengeluaran bahan makanan termasuk penternakan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Abdul Fattah berkata, Konsormas adalah gabungan Koperasi Kariah Masjid seluruh Malaysia yang ditubuhkan secara berpusat serta ibu pejabat berdaftar adalah di Angkasa.

"Jumlah keanggotaan Konsormas sehingga tarikh 28 Mei lalu adalah sebanyak 40 buah koperasi dan usaha meningkatkan keanggotaan masih dijalankan secara agresif," katanya.

Katanya, Konsormas kini giat melaksanakan aktiviti perniagaan dalam membekalkan lembu terutamanya ketika sambutan Aidiladha selepas kejayaan pelaksanaannya menerusi perkhidmatan 'Quick Win' pada tahun 2018 dan 2019.

"Kita membekal dan mengedar lembu korban kepada koperasi fidlot seluruh negara yang berminat mendapatkan bekalan lembu dari Konsormas.

"Pada tahun pertama iaitu 2018, hanya sebuah koperasi Kariah Masjid terlibat iaitu melibatkan 30 ekor lembu korban yang bernilai RM116,636," katanya

Menurutnya, pada tahun berikutnya, jumlah koperasi terlibat meningkat kepada 11 buah Kariah Masjid dengan pembekalan 501 ekor lembu korban bernilai hampir RM2 juta.

Ternakan lembu disuahakan Konsormas di Kampung Jerang, Jelebu.
Ternakan lembu disuahakan Konsormas di Kampung Jerang, Jelebu.