Tiada lagi soalan 'penyelamat' untuk sesi debat

Jokowi (kiri) bersalaman dengan pesaingnya, Prabowo selepas debat pertama yang disiarkan stesen TV di Jakarta pada Khamis lalu.
Jokowi (kiri) bersalaman dengan pesaingnya, Prabowo selepas debat pertama yang disiarkan stesen TV di Jakarta pada Khamis lalu.
A
A
A

JAKARTA - Komisi Pilihan Raya Umum Indonesia (KPU) memutuskan tidak akan menyediakan senarai soalan kepada calon presiden sebelum debat akan datang selepas sesi pertama pada Khamis lalu menerima kritikan awam.

Pesuruhjaya KPU, Pramono Ubaid Tanthowi berkata, keputusan itu diambil selepas penilaian sesi pertama walaupun tujuan asal adalah membolehkan calon melontarkan idea mereka dengan jelas dan secara menyeluruh.

"Kami akan memaklumkan pasukan kedua-dua calon tersebut dalam mesyuarat hari ini," ujarnya, semalam.

Jelasnya, KPU menerima pendapat orang ramai terutamanya kumpulan masyarakat sivil bagi penambahbaikan dalam sesi debat tersebut yang diadakan sebulan sekali sehingga Pilihan Raya Presiden (Pilpres) pada 17 April depan.

Sebelum ini, Pramono menyifatkan debat pilihan raya bukan kuiz atau rancangan realiti yang sarat dengan permainan meneka kerana apa yang pengundi perlu adalah idea, visi, misi calon terbabit dan bukannya hiburan semata-mata.

Keputusan itu dibuat selepas pemerhati politik di Institut Awam Indonesia (IPI), Jerry Massie menggesa KPU tidak lagi memberi 'cheet sheet' untuk memastikan kualiti debat lebih baik.

"Debat pertama tidak menarik dan kualiti sangat teruk. Sesiapa boleh berdebat jika mereka terima soalan terlebih dahulu," lapor Antara memetik kenyataan beliau.

Khamis lalu, calon Presiden Joko Widodo atau Jokowi yang bertanding untuk penggal kedua dan Prabowo Subianto bersama pasangan regu masing-masing Ma'aruf Amin serta Sandiaga Uno berdepan debat pertama di Hotel Bidakarta di Jakarta Selatan.

Artikel Berkaitan:

Ia berlangsung agak panas selepas kedua-dua calon saling mengkritik antara satu sama lain.

Difahamkan, KPU memberikan lima soalan disediakan oleh beberapa individu termasuk bekas Ketua Hakim Mahkamah Tinggi, Bagir Manan dan pakar undang-undang antarabangsa, Hikmahanto Juwana kepada calon presiden bersama regu mereka beberapa hari sebelum debat pertama itu berlangsung.

Selain persediaan soalan, calon terbabit juga diberi peluang untuk bertanyakan soalan tidak melangkaui topik kepada pesaing mereka.

Sementara itu, calon timbalan presiden, Sandiaga berkata, beliau menyokong keputusan KPU untuk menghangatkan lagi debat tersebut.

"Setiap calon akan melontarkan apa yang ada dalam fikiran mereka dan bercakap tentangnya dengan hati terbuka tanpa dibatasi dengan senarai soalan yang disediakan," katanya ketika menyertai kempen pilihan raya di Surabaya, Jawa Timur pada Sabtu lalu.

Debat kedua yang hanya menampilkan Jokowi dan Prabowo dijadualkan pada 17 Februari depan dan akan membahaskan topik berkaitan tenaga, makanan, sumber asli, alam sekitar dan infrastruktur.

Pasangan regu mereka, Ma'aruf dan Sandiaga akan bertemu dalam sesi ketiga pada 17 Mac depan yang akan berdebat tentang isu pendidikan, kesihatan, tenaga manusia, sosial dan budaya.

Debat keempat pada 30 Mac depan pula akan disertai pasangan tersebut yang akan mengupas pelbagai perkara termasuk ideologi, pertahanan, keselamatan, ekonomi, kebajikan awam, kewangan, pelaburan, perdagangan dan industri.

Tarikh debat kelima bagaimanapun masih belum ditetapkan. - Jakarta Post