X

Kindly register in order to view this article
!

Selangor lanjut tempoh bayaran premium tanah

Amirudin Shari
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor memutuskan untuk melanjutkan tempoh pembayaran premium tanah bagi notis-notis yang tamat tempoh bermula dari 1 Januari sehingga 9 Jun 2020.

Difahamkan, bayaran melibatkan notis-notis bagi tempoh berkenaan akan dilanjutkan sehingga 30 September depan.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, selain itu, kerajaan negeri juga bersetuju memberikan insentif pembayaran premium tanah secara ansuran sehingga 31 Mac 2021 kepada notis 5A serta 7G yang belum tamat tempoh dengan syarat ditetapkan.

"Kerajaan Selangor ingin memaklumkan beberapa keputusan terbaru berkenaan langkah-langkah pemulihan ekonomi akibat pandemik koronavirus (Covid-19) serta membantu mereka yang terkesan.

"Diharapkan inisiatif ini dapat meringankan tekanan ekonomi pemaju dan para pelabur," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pada 20 Mac lalu, Amirudin mengumumkan Pakej Selangor Prihatin membabitkan tujuh inisiatif dengan nilai peruntukan RM127.78 juta.

Susulan itu, kerajaan Selangor sekali lagi mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor Prihatin 2.0 melibatkan peruntukan sebanyak RM272.5 juta menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM400 juta khusus untuk menangani impak Covid-19.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, kerajaan Selangor juga bersetuju untuk melanjutkan lagi pengecualian sewa bulanan kepada peniaga/penyewa milik pihak berkuasa tempatan (PBT) selama sebulan untuk Mei ini tertakluk kepada syarat sama sebelum ini.

"Inisiatif itu adalah tambahan daripada pengecualian sewa selama sebulan yang diberikan dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor Prihatin untuk bulan April lalu," katanya.

Dalam pada itu, Amirudin berkata, kerajaan negeri melalui Jawatankuasa Tetap Pendidikan juga akan memberikan sumbangan sebanyak RM50,000 untuk program Bakul Makanan buat pelajar-pelajar Selangor yang terkandas di Mesir akibat Covid-19.

Beliau berkata, dianggarkan terdapat kira-kira 600 pelajar yang terkesan dan perkembangan mereka akan diteliti dari semasa ke semasa untuk pertimbangan tindakan selanjutnya selepas ini.

"Kerajaan Selangor akan bekerjasama dengan Wisma Putra untuk memantau keadaan di negara yang mempunyai mahasiswa tajaan negeri ini dan kami menghargai kesediaan Wisma Putra untuk membantu sekiranya situasi tersebut memerlukan tindakan lanjut," katanya.

Tambahnya, kerajaan negeri juga kini dalam peringkat akhir bagi merumuskan pelan pemulihan ekonomi negeri yang dijangka diumumkan menjelang bulan depan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!