IoT dalam tanaman fertigasi beri banyak kelebihan

Ahmad (tiga dari kanan) bersama agroprenuer muda yang menerima geran pada Program Jelajah Agropreneur Muda (JAM) Negeri Selangor di Pusat Pengumpulan Hasil Pertanian Kuala Langat hari ini.
Ahmad (tiga dari kanan) bersama agroprenuer muda yang menerima geran pada Program Jelajah Agropreneur Muda (JAM) Negeri Selangor di Pusat Pengumpulan Hasil Pertanian Kuala Langat hari ini.
A
A
A

KUALA LANGAT - Golongan agropreneur muda disaran mengaplikasikan Internet of Things (IoT) dalam tanaman fertigasi mereka yang berupaya menghasilkan pelbagai manfaat dalam banyak aspek.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, menerusi penggunaan IoT, golongan agroprenuer muda boleh menggunakan konsep 'smart farming' atau pertanian pintar dalam tanaman fertigasi melibatkan aspek penjagaan, siraman air, membaja, meracun dan sebagainya

Beliau berkata, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) juga giat membangunkan sistem serta aplikasi yang dapat digunakan dalam tanaman fertigasi tersebut.

"Walaupun sistem ini masih dalam peringkat percubaan tapi kita boleh banggakan ciptaan ini yang telah menghasilkan penjimatan masa, tenaga kerja bahkan hasil lebih baik," katanya pada sidang media selepas Program Jelajah Agropreneur Muda (JAM) Negeri Selangor yang berlangsung di Pusat Pengumpulan Hasil Pertanian Kuala Langat hari ini.

Mengulas mengenai program JAM, Ahmad berkata, sehingga kini, seramai 762 agroprenuer muda di Selangor telah menerima bantuan geran berjumlah RM13.5 juta.

Beliau berkata, bagi penyerahan hari ini, seramai 31 agroprenuer muda menerima kelulusan geran berjumlah RM516,000.

"Kelulusan Geran Agroprenuer Muda Fasa Pertama tahun ini melibatkan 238 penerima dengan jumlah RM516,000," katanya.

Dalam pada itu, seorang pengusaha cili fertigasi, Norhashim Kamisan berkata, penggunaan sistem IoT dalam tanamannya sebelum ini dilihat memberi peningkatan pulangan hasil yang baik.

Artikel Berkaitan:

Katanya, fertigasi merupakan salah satu tanaman yang mudah untuk didigitalkan dan boleh dipantau di mana-mana sekiranya mempunyai akses internet.

"Banyak kelebihan dalam sistem IoT ini antaranya tidak lagi berlaku kecuaian melibatkan pekerja dan dapat menjimatkan penggunaan baja atau racun perosak," katanya.