Warisan ulangi pendirian sokong Dr Mahathir sebagai calon PM

Dr Mahathir
Dr Mahathir
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Warisan Sabah (Warisan) mengulangi pendirian menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri Pakatan Harapan (PH) dan rakan sekutu (PH Plus).

Pengerusi Warisan, Datuk Liew Vui Keong berkata, pendirian parti itu konsisten dengan menyokong Dr Mahathir untuk menerajui negara.

"Kami telah mengulangi pendirian kami pada bulan Februari. Saya percaya bahawa kami tidak akan mengubah pendirian kami," katanya menerusi laporan portal Malaysiakini hari ini.

Ahli Parlimen Batu Sapi itu turut mendesak PH Plus supaya menyelesaikan kemelut menentukan calon perdana menteri dengan segera kerana beranggapan rakyat bosan dengan perkara tersebut.

Ditanya sebab Warisan tidak memihak kepada Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri, Vui Keong memaklumkan bahawa Warisan hanya ingin konsisten dalam keputusan parti itu.

"Kami masih percaya bahawa Mahathir harus berada dalam pentadbiran negara. Pada masa ini, negara mungkin masih memandangnya sebagai Perdana Menteri.

"Saya tiada keraguan Anwar akan mengambil alih (sebagai Perdana Menteri) dan saya yakin dia mampu menjadi Perdana Menteri.

"Tapi saya rasa (dia) harus tunggu. Itu harus bersabar, waktunya akan tiba," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Vui Keong bagaimanapun, menolak untuk memberikan jawapan yang jelas sama ada Warisan akan menyokong Anwar untuk menggantikan Mahathir selepas enam bulan kembali berkuasa.

"Nanti kita putuskan bila dah sampai situ," katanya.

Semalam, Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke mendedahkan bahawa Warisan menentang gabungan Anwar dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir untuk dua jawatan tertinggi sekiranya pembangkang berjaya merebut kembali Putrajaya.

DAP mendesak PKR untuk menyatakan pendirian berhubung tawaran Mahathir untuk menjadi perdana menteri lagi selama enam bulan.

Parti Amanah Negara (Amanah) hari ini menyifatkan opsyen dicadangkan DAP untuk melantik Dr Mahathir sebagai calon Perdana Menteri kesembilan adalah saranan terbaik.

Naib Presiden Amanah, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof bagaimanapun menegaskan, Anwar masih diletakkan sebagai keutamaan menggantikan Dr Mahathir apabila beliau dipersetujui menjadi Timbalan Perdana Menteri dengan dijamin mengambil alih jawatan Perdana Menteri selepas enam bulan kerajaan ditadbir PH.