Proses kerja ibadah korban di peringkat akhir

Dr Mohd Termizi Ghazali
Dr Mohd Termizi Ghazali
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Proses kerja semasa ibadah korban kini di peringkat akhir semakan, sebelum keputusan rasmi mengenainya dibuat Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT).

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu, Dr Mohd Termizi Ghazali berkata, selaku jabatan yang terlibat secara langsung, pihaknya telah menggariskan beberapa cara proses kerja sebelum diserahkan kepada Exco kerajaan negeri yang berkaitan dan dibawa ke peringkat yang lebih tinggi untuk mendapatkan persetujuan.

"JPV mendapat banyak keluhan daripada penternak dan pengusaha kerana musim ini (Hari Raya Aidiladha) antara musim untuk menuai hasil daripada penternakan.

"Apabila berlaku Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini, ramai yang tertanya-tanya sama ada ibadah korban dapat dilaksanakan.

"Jadi, JPV bersama Exco dan kerajaan negeri telah melakar bentuk proses kerja semasa ibadah korban. Garis panduan yang ditetapkan bermula daripada seekor lembu sehingga kepada proses daging dan diedarkan kepada penerima," katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Mohd Termizi berkata, kebiasaannya semasa ibadah korban, satu kelompok atau kumpulan orang ramai akan melihat proses penyembelihan lembu menyebabkan timbul kerisauan risiko jangkitan koronavirus (Covid-19).

Disebabkan itu, JPV telah membuat garis panduan tentang proses kerja dan jumlah yang terlibat semasa proses berkenaan tetapi pada masa yang sama mematuhi arahan PKP Pemulihan yang ditetapkan kerajaan.

"Bagi proses pertama iaitu pengendalian dan penyembelihan lembu, kita tetapkan maksimum lima orang sahaja manakala bagi proses melapah, maksimum yang terlibat adalah tiga orang.

Artikel Berkaitan:

"Bagi proses menyiang dan memotong sehingga kecil pula maksimum tiga orang dalam satu kumpulan dan proses pembungkusan untuk edaran seramai dua orang sekumpulan, bergantung kepada kariah setempat itu.

"Apabila proses itu disegmenkan, ibadah korban boleh dikawal selia dengan setiap pergerakan orang yang terlibat dari setiap 'point' sehingga kepada penerima," katanya.

Sementara itu katanya, sebanyak 1,700 ekor lembu telah didaftarkan dengan JPV oleh pengusaha untuk proses ibadah korban kali ini.

Katanya, jumlah itu hampir sama dengan tahun lalu, bagaimanapun pihaknya menjangkakan penyusutan sekitar 10 peratus disebabkan faktor kemampuan untuk menjalankan ibadah korban.