X

Kindly register in order to view this article
!

Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Pekan umum bertanding Bebas

Tengku Zainul Hisham mengumumkan bertanding sebagai calon Bebas pada PRK DUN Chini pada 4 Julai ini.
A
A

PEKAN - Timbalan Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Pekan, Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin,64, mengumumkan hasrat bertanding sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini pada 4 Julai ini.

Tengku Zainul Hisham berkata, keputusan itu diambil bukan kerana desakan atau dorongan mana-mana pihak termasuk parti politik sebaliknya atas keputusan diri sendiri.

Anak jati Pekan itu berkata, keputusan yang dibuat dua hari lalu itu tidak mudah, namun hasil perbincangan dengan pelbagai pihak selain menimbang risiko yang bakal dihadapi.

Menurutnya, keputusan itu juga dibuat dengan mengambil kira pendirian parti untuk tidak meletakkan calon pada PRK itu.

"Walaupun mengambil keputusan untuk bertanding sebagai calon Bebas, ketika ini saya masih kekal sebagai ahli Bersatu dan Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Pekan.

"Bagaimanapun, saya bersedia mengambil risiko termasuk dikenakan tindakan oleh parti atas keputusan ini," katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Calon Bebas, Felda Chini 2 di sini hari ini.

Tengku Zainul Hisham berkata, beliau tidak berseorangan, sebaliknya yakin mempunyai sokongan dalam kalangan pengundi di DUN Chini.

Tengku Zainul Hisham
Tengku Zainul Hisham

"Saya anak jati Pekan dan kawasan DUN Chini ini sudah tidak asing lagi termasuk kawasan Felda, kampung tradisional dan kampung orang asli.

"Sebab itu juga saya tawarkan diri untuk bertanding dengan satu manifesto iaitu menjadi suara rakyat Chini," katanya.

Ahli perniagaan berkata, sebagai calon Bebas, beliau sedar tidak mampu menjanjikan bulan dan bintang sebagai manifesto untuk menarik sokongan pengundi.

"Tiada guna banyak janji ditabur jika tidak dapat ditunaikan," katanya.

Dalam pada itu, beliau yang juga anak kepada bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bandar Pekan, Allahyarhamah Datuk Shamsiah Abdul Hamid itu akur dengan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

"Proses PRK kali ini agak berbeza. Justeru, kami mungkin menggunakan saluran media dan media sosial untuk mendekati pengundi.

"Apa yang penting PRK DUN Chini berjalan dengan lancar, penuh semangat perpaduan, persaudaraan dan saling hormat-menghormati," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!