Sasterawan Perak, Malim Ghozali PK meninggal dunia

Malim Ghozali PK meninggal dunia di Hospital Serdang, Selangor hari ini.
Malim Ghozali PK meninggal dunia di Hospital Serdang, Selangor hari ini.
A
A
A

IPOH - Tokoh Sasterawan Perak, Dr Mohamed Ghazali Abdul Rashid atau lebih dikenali sebagai Malim Ghozali PK meninggal dunia di Hospital Serdang, Selangor hari ini.

Pemergian Allahyarham dimaklumkan menerusi Facebook oleh pelbagai penggiat seni dan sastera tanah air termasuk anaknya.

Difahamkan, jenazah akan dibawa ke Kota Damansara dan akan disembahyangkan di Surau Ad Duha selepas solat Asar hari ini.

Pengerusi Karyawan Perak, Dr Zabidin Ismail berkata, pemergian Allahyarham adalah satu kehilangan besar kepada dunia sastera tanah air terutama di Perak.

Menurutnya, Mohamed Ghazali sangat berjasa dalam memperjuangkan kesusasteraan di Perak dengan memperkenalkan pelbagai program termasuklah Festival Puisi dan Lagu Rakyat (Pulara) dan antara penggerak Anugerah Sasterawan Perak.

"Malim Ghozali PK atau lebih mesra disapa Pak Malim ini antara pencetus Pulara yang diadakan setiap tahun di Pulau Pangkor sebelum ini dengan penyertaan karyawan daripada pelbagai negara untuk memartabatkan kesusasteraan.

"Begitu juga karya-karya yang dihasilkan banyak mengetengahkan kebudayaan, sejarah dan tempat-tempat di Perak secara terus. Pemergiannya satu kehilangan besar terhadap negara dan negeri Perak," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Artikel Berkaitan:

Malim pernah dinobatkan sebagai Sasterawan Perak pada tahun 2014.
Malim pernah dinobatkan sebagai Sasterawan Perak pada tahun 2014.

Zabidin berkata, Mohamed Ghazali adalah penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Award) pada tahun 2013 dan dinobatkan sebagai Sasterawan Perak pada tahun 2014.

Menurutnya, beberapa karya Mohamed Ghazali turut diterjemah ke dalam bahasa Inggeris dan menerima pelbagai pengiktirafan antaranya Hadiah Sastera Perdana Malaysia, Hadiah Sastera Utusan-ExxonMobil, Hadiah Sastera Kumpulan Utusan–Public Bank, Hadiah Sastera Berita Publications dan Hadiah Sayembara Esso-Gapena V.

Beliau berkata, sebelum menghembuskan nafas terakhir, Mohamed Ghazali sempat menghasilkan karya terbaharu iaitu novel bertajuk Gunung Cha.

Malim Ghozali PK anak kelahiran Malim Nawar, Perak yang mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Gunung Panjang sebelum melanjutkan pengajian di Sekolah Menengah Anderson, Ipoh.

Berkelulusan Sarjana Muda Sastera, Universiti Malaya, beliau juga pernah mengikuti program Fellowship Penulisan Kreatif di Virginia Center for Creative Arts, Amerika Syarikat dan pernah berkhidmat sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik.

Selain novel dan cerpen yang dihasilkan, Malim Ghozali PK turut menghasilkan buku bertajuk Kampung-Kampung Tersohor di Sepanjang Sungai Perak terbitan Institut Darul Ridzuan pada tahun 2011.