111 NGO ikrar banteras habis-habisan PATI

Mohd Ridzuan (duduk, tengah) dan ahli Majlis Bertindak NGO Malaysia (MYNAC) menunjukkan ikrar bertulis bagi membantu kerajaan memerangi isu melibatkan pendatang asing tanpa izin (PATI).
Mohd Ridzuan (duduk, tengah) dan ahli Majlis Bertindak NGO Malaysia (MYNAC) menunjukkan ikrar bertulis bagi membantu kerajaan memerangi isu melibatkan pendatang asing tanpa izin (PATI).
A
A
A

SEMENYIH - Majlis Bertindak NGO Malaysia (MYNAC) dianggotai 111 wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak berikrar membantu kerajaan memerangi isu melibatkan pendatang asing tanpa izin (PATI).

Pengerusinya, Mohd Ridzuan Abdullah berkata, isu berkaitan PATI semakin kronik dan kritikal, malah beliau difahamkan terdapat hampir 4.1 warga asing berada di negara ini.

Menurutnya, sebagai badan NGO, pihaknya rasa bertanggungjawab membawa isu terbabit dengan bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Imigresen, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi berkaitan.

“Kami harap penubuhan gabungan ini serba sedikit dapat membantu kerajaan, jadi kami desak kerajaan meletakkan wakil daripada majlis bertindak duduk dalam jawatankuasa khas untuk membanteras PATI.

“Memang pernah wujud jawatankuasa khas tangani PATI sebelum ini namun isu tidak selesai kerana setiap seorang dalam jawatankuasa mempunyai banyak portfolio dan mereka berkemungkinan tidak ada masa untuk fokus serta selesaikan isu warga asing,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media dan majlis aku janji serta ikrar ahli gabungan MYNAC di Taman Teknologi Kajang di sini hari ini.

Mohd Ridzuan yang juga Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas) berkata, isu warga asing perlu dipandang secara serius dan pihaknya tidak mahu sekadar memberi maklumat namun tiada tindakan susulan diambil pihak berkaitan.

“Kita ada biro di setiap kawasan terlibat. Kita akan rakam gambar serta video, kumpul dan bawa dalam mesyuarat. Kita tak mahu serahkan maklumat macam itu sahaja. Kita akan bentangkan dalam mesyuarat, kalau serah saja maklumat benda tak jalan, tak guna juga.

Artikel Berkaitan:

“Isu dah terlalu lama dan libatkan rasuah dan sebagainya, ia sukar untuk banteras. Kita perlu berusaha dan bertindak bagi mengatasi kebanjiran mereka ke dalam negara kita. Kerajaan terus menjalankan operasi namun keadaan di sebaliknya PATI terus berhijrah ke negara ini,” katanya.

Menurut Mohd Ridzuan, meskipun isu warga asing di Pasar Borong Selayang secara dasarnya nampak bagaikan sudah dapat diatasi, namun wujud masalah lain pula ditimbulkan PATI.

“Bila mereka tak dapat masuk ke pasar, PATI ini beroperasi dari rumah pula. Ada yang berniaga boleh dapat pulangan antara RM50,000 hingga RM300,000 sehari.

“Apa yang kita khuatir masalah berulang kerana difahamkan ada anggota penguat kuasa dipercayai mengutip duit sebagai habuan untuk melindungi warga asing setiap hari,” katanya.

Tambahnya lagi, kebanjiran PATI turut menimbulkan kegusaran terutamanya apabila wujudnya perkampungan warga asing.

"Isu PATI banyak menimbulkan pelbagai masalah kepada negara, sosial dan ekonomi, oleh itu untuk mengatasi masalah ini, PATI perlu dibanteras habis-habisan.

“Kami juga gesa pihak berkuasa ambil tindakan tegas kepada mana-mana pihak yang melindungi PATI sama ada secara langsung mahupun tidak,” katanya.