Zahid bayar tunai lebih RM1.4 juta ubah suai banglo: Saksi

Dr Ahmad Zahid Hamidi - Foto Bernama
Dr Ahmad Zahid Hamidi - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membayar RM1,424,643.40 secara tunai kepada kontraktor untuk kos ubah suai sebuah banglo di Country Heights, Kajang yang dibeli adik bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Kontraktor, Marzuki Che Omar, 56, berkata, semua bayaran diterimanya secara tunai di Surau An Nur, Country Height, Kajang sama ada selepas solat Subuh atau Zuhur.

"Saya akan pergi ke Surau An Nur apabila diberitahu yang Datuk Zahid akan membuat pembayaran. Saya sahkan tiada kontrak bertulis dibuat untuk kerja-kerja ubah suai ini.

"Saya juga tidak keluarkan apa-apa resit terima bayaran. Saya dapat arahan dari Datuk Zahid secara lisan sahaja. Urusan ini dibuat atas kepercayaan sahaja. Saya juga tidak pernah bertanya dari mana datangnya wang itu, tetapi saya sahkan semua bayaran saya terima secara tunai dan serahan tangan daripada Datuk Zahid sendiri," katanya.

Katanya, Ahmad Zahid ada memaklumkan bahawa ubah suai banglo itu adalah untuk kegunaan Yayasan Al-Falah bagi menempatkan golongan orang tua untuk mempelajari agama.

Beliau berkata demikian ketika membacakan penyataan saksinya semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Sazilee Abdul Khairi pada hari ke-23 perbicaraan kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram berjumlah jutaan ringgit yang membabitkan Yayasan Akalbudi.

Semalam, saksi pendakwaan ke-66, Faisalludin Mohamat Yusuff memberitahu mahkamah bahawa Ahmad Zahid menyumbangkan RM5.9 juta kepada Yayasan Al-Falah yang mana adiknya, Datuk Seri Mohamad Nasaee Ahmad Tarmizi adalah Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah yayasan itu, bagi pembelian dua buah banglo di Country Heights menerusi cek Tetuan Lewis & Co yang merupakan pemegang amanah Yayasan Akalbudi milik Ahmad Zahid.

ARTIKEL BERKAITAN: Ahmad Zahid sumbang RM5.9 juta kepada adik untuk beli dua banglo<

Artikel Berkaitan:

Ketika ditanya Ahmad Sazilee mengenai tarikh ubah suai banglo itu siap, Marzuki menjawab ubah suai banglo Lot 403 itu bermula sekitar September 2018 dan siap sepenuhnya pada minggu kedua Februari 2019.

"Tarikh serah kunci pada 30 Mac 2019 dan keadaan banglo itu seperti banglo tinggal dan tidak terurus," katanya apabila menjawab soalan Ahmad Sazilee mengenai tarikh serah kunci banglo dan keadaanya sebelum diubah suai.

Menjawab soalan peguam Haziq Dhiyauddin Razali yang mewakili Ahmad Zahid, adakah saksi itu bersetuju bahawa di dalam banglo itu terdapat ruangan besar untuk pengajian atau solat, beliau menjawab, “Setuju, siap ada karpet dan saf solat”.

Pengarah Urusan Tekad Nusantara Sdn Bhd itu juga bersetuju dengan Haziq Dhiyauddin bahawa terdapat beberapa bilik untuk penghuni berehat dan susun atur di dalam banglo itu seperti madrasah.

Dalam kertas pertuduhan yang ke-26, Ahmad Zahid didakwa memberi arahan dalam pembelian dua buah rumah jenis banglo bernilai RM5.9 juta dengan menggunakan cek milik Tetuan Lewis & Co yang merupakan hasil aktiviti haram.

Sementara itu, saksi pendakwaan ke-71, Mohamed Husein Mohammad Annifah, 30, pekerja syarikat pengurup wang kepunyaan Omar Ali Abdullah memberitahu mahkamah bahawa majikannya (Omar Ali) ada mengarahkannya untuk pergi ke Hong Leong Bank di Jalan Imbi untuk menukar wang RM100,000 kepada dua keping 'bankers cheque'.

"Saya telah diberikan wang tunai berjumlah RM100,000 dalam sebuah beg oleh Omar Ali semasa di pejabat. Semasa di bank itu saya telah isi butiran nama, nombor kad pengenalan, nombor telefon bimbit saya. Di ruangan butir penerima, saya telah tulis Lewis & Co seperti mana arahan Omar Ali," katanya.

Mengikut pertuduhan bagi kes pengubahan wang haram ke-27, Ahmad Zahid didakwa mengarahkan Omar Ali untuk mengubah bagi pihak dirinya wang tunai berjumlah RM6,885,300.20 membabitkan 30 keping cek yang kemudian diserahkan kepada Tetuan Lewis & Co untuk tujuan pembelian Simpanan Tetap di Maybank, yang merupakan hasil aktiviti haram.

Ahmad Zahid berhadapan 47 pertuduhan dengan 12 membabitkan pecah amanah (CBT) melibatkan dana Yayasan Akalbudi, lapan tuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram.

Perbicaraan di hadapan Hakim, Collin Lawrence Sequerah bersambung 3 Julai ini. - Bernama