MPOB sasar pensijilan MSPO 100 peratus tahun 2020

A
A
A

KUALA LUMPUR - Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menggalakkan pekebun-pekebun sawit di Malaysia untuk mendapatkan pensijilan Sijil Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) bagi mencapai sasaran 100 peratus pendaftaran sehingga penghujung tahun ini.

Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, inisiatif mendapatkan pensijilan MSPO itu sebenarnya akan memberi manfaat besar kepada lebih 400,000 pekebun kecil terutama 258, 657 pekebun sawit persendirian di Malaysia.

Menurutnya, kerajaan memfokuskan kepada pekebun-pekebun kecil ini dalam usaha mendapatkan hasil buah tandan segar (BTS) bermutu tinggi dan secara langsung dapat meningkatkan kadar perahan minyak.

"Fokus lebih tertumpu kepada pekebun-pekebun persendirian sawit kerana pemilik ladang berskala besar dan pihak industri mempunyai pengetahuan berkenaan MSPO dan mereka telah memohon serta telah diberi pengiktirafan sijil berbanding pekebun kecil persendirian.

"MPOB memandang serius dengan pensijilan ini kerana 2.3 juta hektar daripada 5.90 juta hektar tanaman sawit dimiliki oleh pekebun kecil dan persendirian dan ianya meliputi 60 peratus tanah pertanian di Malaysia," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ahmad Jazlan yang juga Ahli Parlimen Machang berkata, melalui pendaftaran sijil MSPO, negara-negara pengimport yang memperakukan sijil itu akan menyatakan kesediaan membeli sawit Malaysia dengan harga lebih tinggi.

Menurutnya, senario itu sekali gus akan membantu pekebun meningkatkan pendapatan hasil daripada penghasilan buah tandan segar bermutu dan tinggi nilainya.

"Persijilan ini akan memberi pengetahuan seperti amalan pertanian baik (GAP) sawit, mengurangkan kos pengeluaran, meningkatkan kecekapan pengurusan serta meningkatkan produktiviti dan secara langsung meningkatkan pendapatan pekebun.

Artikel Berkaitan:

"Oleh itu, pekebun-pekebun harus mengambil peluang ini bagi memastikan sijil ini mencapai sasaran 100 peratus pada tahun 2020," katanya.

Bagi mereka yang belum memperoleh sijil MSPO, Ahmad Jazlan menegaskan pihaknya melalui 54 pejabat Tunjuk Ajar dan Nasihat Sawit (Tunas) di seluruh Malaysia bersedia untuk membantu pekebun-pekebun mendapatkan persijilan MSPO.

Menurutnya, peluang sebegini harus digunakan sebaik-baiknya terutama selepas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 5 Jun lalu mengumumkan pengecualian 100 peratus duit eksport terhadap minyak sawit mentah, minyak isirong sawit mentah dan minyak isirong sawit diproses bermula 1 Julai hingga 31 Disember 2020.

"Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi melalui MPOB telah memberi peruntukan yang cukup bagi memastikan persijilan ini dapat disempurnakan.

"Ia akan memberi manfaat yang besar kepada pekebun, pemilik ladang serta pihak industri dalam usaha menambah pendapatan serta menyumbang kepada ekonomi negara.

"Masyarakat dipohon untuk membantu MPOB memberi hebahan ini kepada ahli keluarga, saudara mara serta kenalan yang terlibat dalam industri sawit negara," katanya.