Terengganu perkenal sistem Masuk.la untuk rekod data pengunjung

Terengganu perkenal sistem Masuk.la menggunakan Kod QR bagi memudahkan maklumat pengunjung direkodkan.
Terengganu perkenal sistem Masuk.la menggunakan Kod QR bagi memudahkan maklumat pengunjung direkodkan.
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri memperkenalkan sistem Masuk.la bagi memudahkan proses merekod kehadiran pelanggan ke premis kerajaan, rumah ibadat dan premis perniagaan bagi mengawal penularan pandemik koronavirus (Covid-19).

Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Terengganu, Ariffin Deraman berkata, sistem yang dibangunkan anak syarikat kerajaan negeri, Top IT Industries Sdn Bhd itu menggunakan teknologi Kod Respon Pantas atau 'Quick Response Code' (Kod QR).

“Sistem ini merupakan sistem keluar dan masuk pelanggan di kebanyakan premis di mana ia dapat direkodkan dengan lebih tepat dan mudah.

“Sistem ini boleh digunakan oleh pemilik premis bermula 18 Jun 2020. Mereka digalakkan untuk menggunakan sistem ini kerana ia disokong Kerajaan Terengganu,” katanya pada sidang akhbar sempena Majlis Pelancaran Sistem Masuk.la di Kuala Terengganu City Centre (KTCC) Mall di sini hari ini.

Beliau berkata, pengusaha premis perniagaan hanya perlu mendaftarkan premis menerusi laman web https://masuk.la/ untuk mendapatkan Kod QR dan paparkan di premis perniagaan manakala pengunjung pula hanya perlu imbas Kod QR bagi mengesahkan kehadiran mereka.

Ariffin melakukan proses imbas pada Kod QR yang disediakan sempena Majlis Perlancaran Sistem Masuk.la di Kuala Terengganu City Centre (KTCC) Mall di sini hari ini.
Ariffin melakukan proses imbas pada Kod QR yang disediakan sempena Majlis Perlancaran Sistem Masuk.la di Kuala Terengganu City Centre (KTCC) Mall di sini hari ini.

Katanya, sistem yang dibangunkan itu selamat dan segala maklumat diberikan adalah sulit.

“Sistem Masuk.la menjamin keselamatan maklumat peribadi pengguna supaya tidak disalah guna.

Artikel Berkaitan:

“Log lawatan dan maklumat pengguna dikawal selia dan hanya akan digunakan oleh pihak kerajaan negeri serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sekiranya terdapat kes positif Covid-19 dilaporkan,” katanya.

Beliau berkata, melalui kaedah itu, pengguna tidak perlu lagi mendaftar secara manual, malah pendataran maklumat pengguna pada sistem ini dilakukan sekali sahaja.

“Bagi pengguna peranti ‘android’, chrome boleh digunakan manakala bagi pengguna peranti iPhone, hanya browser safari boleh digunakan kerana IOS tidak membenarkan browser selain safari untuk menggunakan kamera bagi mengimbas Kod QR,” katanya.

Dalam perkembangan sama, katanya, pihak urusetia turut menyediakan hadiah istimewa bagi pengguna sistem ini di mana penilaian akan bermula pada 20 Jun 2020 hingga 20 Julai 2020 meliputi pengguna bertuah (pemenang ditentukan secara cabutan bertuah), premis dan pejabat kerajaan.

“Pengguna yang dipilih sebagai pemenang berpeluang memenangi sebuah motosikal Yamaha Y15ZR, motosikal Honda Beat atau iphone iPhone XR.

“Bagi premis yang merekodkan jumlah pendaftaran pelanggan tertinggi akan menerima hadiah motosikal Honda Beat, Samsung Galaxy A71 dan Huawei Nova 7i berserta sijil manakala bagi PBT pula akan menerima hadiah wang tunai RM1,000 hingga RM4,000,” katanya.