Keluarga Cina bernazar bawa kavadi

Andrew Chong diiringi ahli keluarganya membawa kavadi simbolik membayar nazar pada sambutan Thaipusam di kuil Gunung Cheroh, hari ini.
A
A

IPOH - Meskipun berlainan agama, seorang suri rumah sentiasa menyokong usaha suaminya untuk membayar nazar pada sambutan Thaipusam di Kuil Arulmigu Subramania, Gunung Cheroh, hari ini.

Keunikan Andrew Chong, 51, yang menganut agama Hindu itu mendapat perhatian pengunjung apabila membawa kavadi sepanjang perjalanan melalui Jalan Raja Musa Aziz itu yang diiringi dua anaknya, Daniel Chong, 20 dan Amanda, 22.

Isterinya, Jessica Lau, 51, berkata, dia sekeluarga tetap memberi sokongan dengan meraikan sambutan Thaipusam itu sejak 10 tahun yang lalu di kuil sama.

"Kali ini suami berniat membayar nazar dengan membawa kavadi manakala, anak-anak membawa belanga yang diisi susu.

"Saya penganut Buddha dan saya tetap memberi sokongan kepadanya untuk merayakan sambutan ini setiap tahun," katanya.

Tinjauan mendapati lebih 5,000 pengunjung terdiri pelbagai kaum meraikan sambutan itu sejak semalam.

Sementara itu, seramai 780 pegawai dan anggota polis ditugaskan sepanjang tiga hari sambutan di pekarangan kuil itu.

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Perak, Asisten Komisioner Mohamad Laham berkata, penugasan melancarkan sambutan itu turut melibatkan 35 anggota sukarelawan PDRM.

"Polis meronda dan memastikan penganut agama hindu dapat meraikan sambutan Thaipusam dengan lancar terutamanya dari aspek keselamatan mereka agar lebih terjamin dari awal hingga penghujung sambutan ini esok.

"Setakat ini tiada laporan diterima berhubung pelbagai kes sama ada kes pecah kereta atau keselamatan mereka yang menyertai kavadi sepanjang perjalanan," katanya.

Menurutnya, keanggotaan yang ada kini memadai untuk memastikan keselamatan pengunjung yang datang secara berperingkat selama tiga hari ini.