X

Kindly register in order to view this article
!

Jais benar majlis akad nikah fizikal bermula Isnin ini

Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) memutuskan untuk membenarkan semula majlis akad nikah dilakukan secara fizikal di negeri ini berkuat kuasa Isnin depan dengan syarat-syarat tertentu.

Pengarah Jais, Mohd Shahzihan Ahmad berkata, majlis akad nikah itu hanya boleh diadakan di masjid atau di pejabat agama Islam daerah dalam kes tertentu yang dibenarkan oleh pendaftar kanan.

"Kehadiran bagi majlis ini juga dihadkan kepada hanya 15 orang iaitu masing-masing tujuh wakil pihak lelaki dan lapan wakil daripada pihak perempuan selain daripada pengantin lelaki, pengantin perempuan dan dua saksi.

"Semua individu yang hadir pada majlis akad nikah mestilah mengikut garis panduan yang ditetapkan Jais. Justeru, pelaksanaan akad nikah menerusi sidang video seperti sebelum ini adalah dihentikan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semua Penolong Pendaftar Perkahwinan (PPP) perlu membantu serta memudahkan urusan permohonan perkahwinan seperti termaktub di bawah Seksyen 7 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

Mohd Shahzihan berkata, orang ramai yang mempunyai pertanyaan mengenai perkara itu boleh menghubungi Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Undang-Undang Keluarga Jais dengan menelefon 03-55143479.

Sebelum ini, Jais hanya membenarkan majlis akad nikah dilakukan melalui sidang video bermula 20 April lepas, susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan kerajaan bagi membendung penularan wabak koronavirus (Covid-19). - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!