X

Kindly register in order to view this article
!

Perkeso rancang tubuh pusat dialisis

Saravanan
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Sumber Manusia menerusi agensinya, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) merancang menubuhkan pusat dialisis.

Menterinya, Datuk M Saravanan dalam kenyataannya berkata, ia bagi memenuhi keperluan terhadap kemudahan rawatan dialisis yang semakin meningkat.

"Sejak tahun 1999, Perkeso telah mula menanggung kos perkhidmatan dialisis kepada pencarum-pencarum yang mengalami kegagalan buah pinggang," katanya.

Menurutnya, bagi tahun 2019, seramai 17,963 orang berinsurans (OB) telah menerima kemudahan rawatan dialisis.

"Untuk tempoh Januari hingga April 2020, seramai 18,620 orang telah menerima faedah ini," katanya.

Beliau berkata, jumlah penerima rawatan dialisis menerusi Perkeso juga menunjukkan peningkatan dari tahun ke tahun.

"Pada tahun 2018, sebanyak RM278.07 juta dibelanjakan untuk tujuan itu manakala RM290.81 juta bagi tahun 2019," katanya.

Saravanan berkata, antara kemudahan yang ditawarkan pusat itu adalah rawatan hemodialisis, CAPD dan EPO selain dialisis bagi OB yang menghidap sakit buah pinggang kronik.

"Ini antara faedah yang boleh diterima OB di bawah Skim Keilatan Perkeso," katanya.

Pada perkembangan sama, beliau berharap agar penubuhan Pusat Rehabilitasi Perkeso di Zon

Utara khususnya di Perak akan dapat memenuhi keperluan OB Perkeso.

"Secara purata, sekitar 30 hingga 35 peratus daripada jumlah kes yang diterima oleh Pusat Rehabilitasi Perkeso Melaka adalah dari utara Semenanjung Malaysia.

"Sehubungan itu, penubuhan Pusat Rehabilitasi Perkeso di Zon Utara dilihat relevan bersandarkan kepada kejayaan program Return To Work (RTW) Perkeso dan Pusat Rehabilitasi Perkeso Melaka yang telah memulihkan seramai 31,418 pekerja yang tercedera selain mengembalikan mereka ke alam pekerjaan," katanya.

Tambahnya, pusat rehabilitasi Zon Utara itu adalah inisiatif Perkeso dalam menawarkan perkhidmatan rehabilitasi dan rawatan perubatan yang berkualiti, komprehensif serta berteknologi tinggi kepada golongan sasar.

"Ini dapat meningkatkan lagi kelestarian, keselamatan dan kesihatan di tempat kerja," katanya.

Dalam pada itu, Saravanan turut mengucapkan tahniah kepada Pengerusi Lembaga Perkeso yang baharu, Profesor Tan Sri Datuk Dr Haji Mohammed Haniffa Abdullah serta semua Ahli Lembaga Perkeso, Ahli Panel Pelaburan, Ahli Jawatankuasa Insurans Pekerjaan, Ahli Jawatankuasa Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri dan Ahli Lembaga Pusat Rehabilitasi Perkeso Sdn Bhd yang menerima watikah pelantikan hari ini.

Sementara itu, Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed dalam ucapannya pada majlis penyerahan watikah pelantikan itu berkata, sejarah tercipta tahun 2014 dengan bermula operasi Pusat Rehabilitasi Perkeso di Melaka seterusnya Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri bermula 1 Jun 2017 dan Akta Sistem Insurans Pekerjaan mulai 1 Januari 2018.

"Perkeso bukan sahaja memberi tumpuan kepada aspek perlindungan OB, tetapi juga dalam aspek pencegahan, promosi dan rehabilitasi.

"Aspek-aspek ini dapat meningkatkan kesejahteraan sosial dan membantu peningkatan sosioekonomi OB yang terbencana dan keluarga mereka, sejajar dengan pendekatan terbaik dalam konsep sistem keselamatan sosial iaitu ‘Return to Employment’ atau kembali semula bekerja," katanya.

Pada tahun 2019, Perkeso mencatatkan 442,001 majikan aktif dan 7.19 juta orang pekerja aktif yang telah mendaftar dan mencarum di bawahnya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari.Langgan Sekarang!

Polisi Data Peribadi Karangkraf