Pelajar rugi hampir RM100,000 ditipu 'sarjan'

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

SEREMBAN - Seorang pelajar menanggung kerugian hampir RM100,000 akibat diperdaya oleh sindiket Macau Scam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri Sembilan, Superintendan Aibee Abd Ghani berkata, mangsa berusia 21 tahun dari Taman Merpati di Seremban menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki Selasa lalu.

Menurutnya, lelaki itu mendakwa mangsa adalah suspek untuk satu kes pengubahan wang haram dari akaun Jp Morgan Chase.

"Mangsa kemudian diberi bercakap dengan lelaki lain yang menyamar sebagai Sarjan Pozlan dan kemudian pegawai yang bernama Muhammad Redza.

"Suspek meminta semua maklumat akaun mangsa dengan alasan untuk memeriksa kes berkenaan," katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata, mangsa memberikan maklumat termasuk 23 nombor Kod Pengesahan Transaksi (TAC) yang diterima melalui mesej pesanan ringkas kepada suspek.

Bagaimanapun katanya, mangsa menyedari ditipu apabila semakan mendapati wangnya dipindahkan ke beberapa akaun tidak dikenali.

"Mangsa alami kerugian sebanyak RM99,040 dan membuat laporan polis untuk tindakan lanjut," kata beliau.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu Aibee berkata, sebanyak 127 kes Macau Scam direkodkan di Negeri Sembilan dalam tempoh 1 Januari sehingga Selasa lalu dengan kerugian sebanyak RM3.68 juta.

Menurutnya, jumlah itu meningkat berbanding tempoh sama tahun lalu iaitu 72 kes dengan kerugian sebanyak RM1.56 juta.

"Seramai 60 suspek ditangkap tahun ini manakala tahun lalu seramai 35 suspek," katanya.

Sehubungan itu kata Aibee, masyarakat dinasihatkan supaya tidak melayan mana-mana panggilan yang meminta butiran berkaitan akaun bank atau menyerahkan kad mesin juruwang automatik (ATM) dan nombornya kepada orang lain.