X

Kindly register in order to view this article
!

Bursa Malaysia dibuka rendah

A
A

BURSA Malaysia dibuka rendah hari ini, dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung dalam pasaran meluas berikutan kekurangan pemangkin baharu.

Pada 9.10 pagi, penanda aras, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 4.45 mata kepada 1,521.87 daripada 1,526.32 ketika ditutup pada Rabu.

Indeks utama itu dibuka 1.81 mata lebih rendah pada 1,524.51.

Di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 237 berbanding 202 manakala 259 kaunter tidak berubah, 1,246 kaunter tidak diniagakan dan 38 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 537.38 juta unit bernilai RM249.95 juta.

Malacca Securities menerusi nota penyelidikan berkata, bursa tempatan dijangka terus merekodkan pembelian secara sedikit-sedikit, dan ini mendorong indeks utama mencatatkan prestasi dagangan tidak banyak berubah susulan penurunan baru-baru ini.

"Sebarang kenaikan bagaimanapun mungkin terjejas berikutan kluster baharu jangkitan koronavirus (Covid-19) ditambah dengan ketegangan geopolitik di antara India dengan China, serta Korea Selatan dengan Korea Utara," katanya.

Prestasi bursa tempatan yang lemah itu juga sejajar dengan prestasi Wall Street dalam tempoh semalaman.

Pasaran saham Amerika Syarikat mengakhiri kenaikan tiga hari berturut-turut apabila Purata Perindustrian Dow Jones turun 0.6 peratus dalam keadaan kebimbangan yang berlanjutan terhadap peningkatan kes jangkitan Covid-19 di beberapa negerinya dan China.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi di Bursa Malaysia, IHH Healthcare naik satu sen kepada RM5.40, Hartalega menokok enam sen kepada RM12, TNB tidak berubah pada RM11.88, Maybank turun tiga sen kepada RM7.74, Public Bank kurang 24 sen kepada RM16.72, Petronas Chemicals susut 12 sen kepada RM6.38 dan Maxis menguncup tujuh sen kepada RM5.38.

Saham paling aktif antaranya, MQ Technology, DGB Asia, Velesto dan AT Systematization masing-masing naik setengah sen kepada 4.5 sen, 2.5 sen, 16 sen dan 13.5 sen manakala Genting Malaysia naik tiga sen kepada RM2.77, Sapura Energy tidak berubah pada 9.5 sen dan Bumi Armada turun satu sen kepada 24 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 26.35 mata pada 10,698.02, Indeks FBMT 100 susut 26.15 mata kepada 10,554.56 dan FBM 70 kurang 13.19 mata kepada 13,102.16.

Indeks FBM Emas Syariah turun 25.94 mata kepada 12,087.8, dan FBM ACE menguncup 0.92 mata kepada 5,979.21.

Mengikut segi sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.91 mata kepada 135.22, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 66.84 mata kepada 13.151.61 manakala Indeks Perladangan naik 8.34 mata kepada 6.783.38. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!