Masa terbaik bank bantu rakyat

Gambar hiasan -Foto 123rf
Gambar hiasan -Foto 123rf
A
A
A

SEJAK 1 April lalu, rakyat Malaysia menikmati apa yang dinamakan moratorium selama enam bulan iaitu penangguhan pembayaran secara automatik untuk sewa beli dan pembiayaan Islam berkadar tetap.

Ini bermakna jutaan rakyat Malaysia yang mempunyai pinjaman rumah, kereta dan berkaitan boleh menunda sebentar segala pinjaman mereka dengan institusi kewangan sehingga bulan September ini.

Pengumuman yang dibuat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sememangnya sudah memberi gambaran bahawa pandemik Covid-19 bukan mengambil masa yang sekejap untuk hilang daripada radar masalah kesihatan dunia.

Namun, impak PKP yang menuntut jutaan rakyat Malaysia berkurung di rumah dan hampir semua operasi perniagaan ditutup kini memberi kesan yang sangat besar kepada sektor ekonomi.

Apa yang ditakuti sudah pun terjadi apabila Jabatan Perangkaan mendedahkan kadar pengangguran di Malaysia meningkat kepada lima peratus pada April lalu berbanding tempoh sama tahun lepas.

Ia berikutan pertambahan individu menganggur kepada 778,800 orang yang merupakan kesan langsung PKP. Lebih menyedihkan kadar pengangguran itu adalah yang tertinggi sejak tahun 1989.

Bagaimanapun, rakyat Malaysia boleh menarik nafas lega apabila dalam waktu yang sukar ini, pelaksanaan moratorium mengurangkan sedikit masalah bebanan kewangan apatah lagi bagi individu yang kehilangan pekerjaan ataupun dipotong gaji.

Namun begitu, dalam waktu yang sukar apatah lagi ketika sektor ekonomi belum pulih sepenuhnya, bukan mudah untuk rakyat turut sama keluar dan bangkit daripada belenggu kewangan dan pengangguran.

Artikel Berkaitan:

Kerajaan mungkin boleh mempertimbangkan gesaan beberapa pakar ekonomi dan sosial yang melihat tempoh moratorium wajar dipanjangkan dengan pengenalan moratorium bersyarat iaitu mengikut pilihan pengguna.

Dengan sektor perbankan berada pada kedudukan modal yang lebih kukuh pada krisis kesihatan kali ini, berbanding krisis ekonomi pada tahun 1989, mungkin saranan pakar untuk meneruskan moratorium bersyarat adalah masa terbaik untuk bank memberi kembali kebaikan kepada rakyat.