Ibu Mikail ucap terima kasih

Rahimah melayan anak bongsunya, Mikail ketika ditemui tadi.
Rahimah melayan anak bongsunya, Mikail ketika ditemui tadi.
A
A
A

KUALA BESUT- Ibu tunggal yang kisahnya memohon sumbangan RM1,000 untuk membawa anak bongsu yang menghidap jantung berlubang untuk menjalani pembedahan di Institut Jantung Negara (IJN) meminta netizen menghentikan sumbangan kepadanya serta merta.

Wanita terbabit Rahimah Mohd Rohni, 40, berkata, ia kerana sumbangan yang diterima daripada pelbagai pihak kepadanya sudah mencecah lima angka sehingga jam 12 tengahari tadi sejak kisahnya memohon sumbangan tular di media sosial sejak petang semalam.

Menurutnya, jumlah sumbangan dan derma yang diterima itu melalui akaun bank sudah jauh melebihi keperluan iaitu RM1,000 dan untuk perbelanjaan harian lain.

“Sebenarnya maklumat mengenai saya memohon sumbangan itu, pada mulanya saya hantar menerusi WhatsApp grup keluarga saya pada jam 3.15 petang semalam untuk mendapatkan sedikit sumbangan dari kalangan mereka.

“Tapi ada waris saya yang menghantar kepada kawannya dengan niat untuk membantu, sebelum ia tular ke seluruh negara,” katanya yang ditemui di rumahnya dekat Pekan Baru Kuala Besut di sini tadi.

Rahiman berkata, dia juga tidak menyangka perkara ini menjadi tular dengan begitu pantas sehinggakan dia menerima panggilan daripada pelbagai pihak yang menyampaikan hasrat ingin menghulurkan bantuan termasuk dari Sabah.

Menurutnya, dia berterima kasih kepada individu yang telah menghulurkan sumbangan kepadanya bagi meringankan bebannya sekeluarga.

“Saya tidak mahu dikatakan mengambil kesempatan mendapatikan simpatan atas kemurahan hati rakyat negara ini dengan terus memohon sumbangan sedangkan sumbangan yang diterima setakat ini sudah mencukupi,” katanya yang mempunyai lapan anak iaitu lima perempuan dan tiga lelaki berusia 8 hingga 22 tahun.

Artikel Berkaitan:

Rahimah memberitahu lagi, kos pembedahan Muhammad Mikail Zikri Zaruzi, 3, yang menghidap masalah jantung berlubang sejak lahir yang dijadualkan 28 Januari ini di IJN dibiayai sepenuhnya oleh IJN sebanyak RM35,000.

Katanya, dia akan bertolak ke Kuala Lumpur pada 24 Januari ini sebelum mendaftar di IJN pada 26 Januari dan menjalani pembedahan dua hari kemudian.

“Hidup kami sekeluarga berubah sekelip mata selepas suami saya, Zaruzi Hashim meninggal dunia selepas lori yang dinaikinya terlibat dalam kemalangan jalan raya di KM393.1 Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) pada 18 September 2015.

“Maklum sahajalah saya perlu menyara lapan termasuk seorang yang baru menamatkan pengajian di universiti serta lima orang yang masih bersekolah namun malangnya saya tidak dapat bekerja kerana terpaksa memberi perhatian sepenuh masa kepada Mikail,” katanya.

Walaupun begitu kata, selama ini pelbagai pihak telah tampil menghulurkan bantuan termasuk kerajaan negeri terdahulu dan sekarang termasuk Adun dan Pegawai Penyelaras Dun sekarang selain Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).

Sementara itu menurut sumber Maidam, majlis tersebut telah meluluskan bantuan wang tunai sebanyak RM2,250 kepada Rahimah untuk dia ke Kuala Lumpur membawa anaknya menjalani pembedahan di IJN Khamis ini.

Menurutnya, keluarga ni dibantu oleh MAidam sejak 2016 iaitu bantuan sebanyak 2,100 pada tahun tersebut diikuti RM2,600 (2017) dan RM600 pada tahun lepas.

Sumber JKM pula memberitahu, pihaknya turut mengeluarkan tiket bas percuma (waran) pergi balik Jertih ke Kuala Lumpur kepada Rahimah dan anak bongsu bagi tujuan sama.

Pegawai Penyelaras Dun Kuala Besut, Hasbi Salleh berkata, kerajaan negeri melalui Tabung Darul Iman juga telah mengambil perjalanan untuk meluluskan sumbangan dan dana kepada keluarga terbabit.

“Kerajaan negeri telah mengambil tindakan untuk membantu keluarga tersebut sebelum ini bagi meringankan beban keluarga tersebut terutama bagi Rahimah yang menanggung anak yang ramai,” katanya yang mengunjungi keluarga terbabit petang ini.