Kita dan hospital berpisah tiada

Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ)
Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ)
A
A
A

SECARA rutin, kelmarin saya ke Klinik Kesihatan Kelana Jaya untuk mendapatkan bekalan ubat diabetik. Cuma pada kunjungan itu, saya tidak dibenarkan masuk ke ruang pesakit luar. Hanya mereka yang ada temujanji dengan doktor sahaja dibenarkan.

Saya serahkan borang pesanan ubat dan diminta menunggu ubat di khemah luar klinik. Mereka yang datang untuk mengambil bekalan ubat seperti saya, juga tidak disediakan kerusi. Begitulah normal baharu akibat Covid-19.

Saya teringat tatkala bekerja dahulu. Ketika itu, pihak syarikat mempunyai klinik panel sebuah hospital swasta. Untuk pemeriksaan berkala, saya dibawa petugas ke sebuah suite. Ada sofa, TV dan hidangan makanan serta minuman. Seketika sahaja, ada petugas yang datang untuk mengambil darah. Walaupun menunggu lebih dua jam sebelum bertemu doktor, saya dapat berehat dan bertenang di suite yang dingin lagi sunyi.

Kita dan hospital tidak dapat dipisah. Berkunjung ke hospital pula adalah suatu pengalaman yang menarik. Sewaktu kecil, saya pernah menghidap demam malaria yang dikenali sebagai deman kura-kura hingga menggigil seluruh tubuh. Saya pernah tinggal di wad pada usia 10 tahun akibat tangan patah. Kemudiannya pada tahun 2013, saya masuk hospital kerana kandungan gula yang tinggi dalam badan.

Menemani ayah dan emak ke hospital adalah pengalaman yang tidak dapat saya lupakan. Kami menaiki beca. Selepas berjumpa doktor, emak akan belanja saya aiskrim. Melawat seseorang yang sakit pula adalah pengalaman yang lumrah.

Arwah nenek, ibu dan ayah saya pernah menghidap sakit yang berpanjangan. Hampir setiap hari saya akan berkunjung ke hospital. Ada ketikanya mengikut giliran menemani mereka untuk bermalam. Saudara-mara, kawan-kawan dan juga pekerja saya juga pernah saya ziarahi apabila mereka dimasukkan ke wad.

Sebenarnya tiada bezanya di antara pusat perubatan swasta dan juga kerajaan dari segi layanan profesional para doktornya. Cuma dengan doktor swasta, mereka melayani kita sebagai kenalan. Dari segi ramainya pesakit, di hospital swasta pun tidak kurang ramainya.

Adakalanya menunggu di hospital swasta memakan masa berjam-jam juga seperti di hospital kerajaan. Seperti juga pembaca, saya punyai anggota keluarga, saudara-mara, sahabat handai dalam kalangan petugas di hospital. Adik ipar saya adalah seorang doktor yang mempunyai sebuah klinik.

Artikel Berkaitan:

Tiga orang anak saudara saya juga doktor. Ramai di antara kawan-kawan saya adalah petugas di hospital dalam kalangan jururawat, pembantu perubatan dan pengawal keselamatan. Justeru, meskipun hospital adalah tempat yang kalau boleh kita jauhi, kita tetap akan mengunjunginya bila sampai masa dan keadaannya.

Apabila terjadinya Covid-19 yang menyebabkan suasana tegang dan kritikal di hospital, seperti ramai orang yang lain, saya juga berasa hiba bila melihat video petugas yang terpaksa menggunakan plastik sampah sebagai pakaian ketika peringkat awal PKP dahulu.

Dengan kapasiti yang terhad kerana terpaksa work from home, saya sempat juga membantu mengkoordinasi bantuan beberapa NGO yang membekalkan peralatan PPE.

Kita semua dibantu untuk sihat sejak dari kecil hingga dewasa. Malah, kita dijaga oleh pihak hospital. Bila tidak sihat, kita merujuk ke situ. Jasa pihak hospital dan petugasnya memang tidak dapat kita balas. Oleh itu, apabila mereka melakukan sesuatu yang tak pernah mereka buat iaitu meminta bantuan kita semua, kita muncul untuk membantu meringankan beban ditanggung mereka.

Itu sahaja balasan dan tanda ucapan terima kasih daripada kami rakyat Malaysia.

*Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian