X

Kindly register in order to view this article
!

Malaysia tekankan rancangan pemulihan ekonomi: Hishammuddin

Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menyertai Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Luar ASEAN - Rusia mengenai Covid-19 di pejabatnya hari ini. - Foto Facebook rasmi Hishammuddin Hussein.
A
A

PUTRAJAYA - Malaysia menekankan dua aspek penting pada Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Luar ASEAN-Rusia mengenai Covid-19 hari ini iaitu rancangan pemulihan ekonomi yang komprehensif dan pembangunan vaksin.

Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, dalam usaha memulihkan ekonomi masing-masing, negara anggota ASEAN juga perlu berganding dengan Rusia untuk membawa pulangan yang positif.

“Kalau gandingan ini dapat dilihat sebagai satu kekuatan untuk kita di ASEAN, tidak ada sebab kuasa besar atau perkumpulan antarabangsa, sama ada dari Timur Tengah, Eropah atau kuasa global untuk tidak melihat ASEAN selepas pemulihan ekonomi pasca-Covid-19 sebagai rakan kongsi berpotensi untuk mara ke depan,” katanya.

Bercakap pada sidang media selepas mesyuarat yang diadakan menerusi persidangan video di Wisma Putra di sini hari ini, Hishammuddin berkata, mesyuarat itu membuktikan negara-negara kecil di ASEAN juga dapat berdiri sama tinggi dengan negara kuasa besar.

Dalam ucapannya pada mesyuarat itu, Hishammuddin berkata, perkumpulan ASEAN dengan jumlah populasi lebih 650 juta orang mempunyai keluaran dalam negara kasar tergabung berjumlah AS$2.8 trilion selain menjadi hab penting bagi perdagangan global dengan nilai dagangan transit melebihi AS$3.4 trilion setiap tahun.

“Kami di ASEAN sedang membangunkan Pelan Pemulihan Ekonomi ASEAN, menumpukan bukan sahaja pada aspek kewangan negara kami tetapi juga jaringan keselamatan sosial, jaminan makanan serta pendidikan untuk semua.

“Bagaimanapun, disebabkan kesejagatan dunia, ekonomi kita saling berkait antara satu sama lain,” katanya.

Hishammuddin berkata beberapa negara di ASEAN telah menunjukkan perkembangan positif dalam menangani wabak Covid-19 dan secara terbuka mengumumkan tentang potensi perjalanan dalam kalangan 'negara-negara hijau' yang merupakan kaedah terbaik untuk memulakan semula ekonomi serantau.

Mengenai pembangunan vaksin Covid-19, Hishammuddin berkata, masyarakat dunia sedang berbincang tentang pelan untuk mengembalikan negara masing-masing ke landasan.

“Bagaimanapun, kerjasama dalam penyelidikan dan pembangunan vaksin harus diutamakan oleh ASEAN dan Rusia bagi memastikan nyawa dapat diselamatkan,” katanya.

Selain itu katanya, pengeluaran vaksin juga harus berlandaskan kerjasama antarabangsa, bukan bersifat persaingan antara negara.- Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus