X

Kindly register in order to view this article
!

Tak tahu dari mana wang lebih RM4 juta dalam akaun syarikat

Ahmad Zahid berdepan 27 pertuduhan pengubahan wang haram, 12 pertuduhan pecah amanah membabitkan dana Yayasan Akalbudi dan lapan pertuduhan rasuah. - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa isteri kepada pengurup wang, Omar Ali Abdullah individu yang didakwa melakukan pengubahan wang haram bagi pihak Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak tahu dari mana datangnya wang berjumlah RM4,559,036 juta di dalam akaun syarikatnya.

Pendedahan itu dibuat oleh Pengarah Ekares Sdn Bhd, Kamarunisah Ahmah Shah, 48, semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Harris Ong Mohd Jeffry Ong pada hari ke-22 perbicaraan kes Ahmad Zahid yang berdepan 47 pertuduhan melibatkan dana Yayasan Akalbudi berjumlah jutaan ringgit.

Ketika ditanya bagaimana wang itu boleh berada di dalam akaun syarikat miliknya bersama seorang lagi pengarah iaitu Abdul Majid Mohd Yusof, Kamarunisah menjawab, "Saya tidak tahu dari mana datangnya wang tersebut, suami (Omar Ali) yang uruskan, saya hanya tandatangan cek."

"Syarikat saya sekarang tidak menjalankan apa-apa aktiviti, hanya ikut arahan suami," katanya ketika ditanya Harris Ong mengenai status syarikat itu sekarang.

Terdahulu, ibu kepada empat anak itu berkata, beliau hanya menandatangani cek kosong milik syarikatnya yang mana nama penerima dan amaun tidak dimasukkan.

"Saya hanya dimaklumkan oleh suami saya sekiranya ada menerima panggilan daripada bank, saya hanya perlu sahkan pembayaran daripada cek tersebut. Kepada siapa bayaran yang dibuat syarikat, bukan dalam kawalan saya.

"Saya juga mengesahkan yang saya ada bertanya kepada suami, ada ke duit dalam akaun syarikat untuk membuat bayaran sebanyak itu dan suami saya memaklumkan beliau telah memasukkan duit yang diterima ke dalam akaun syarikat," katanya ketika membacakan penyataan saksi.

Saksi pendakwaan ke-69 itu juga mengesahkan beliau tidak tahu kenapa pembayaran menerusi 16 cek berjumlah lebih RM4.5 juta dibuat kepada Tetuan Lewis & Co, pemegang amanah Yayasan Akalbudi milik bekas Timbalan Perdana Menteri itu, kerana urusan pembayaran tersebut diuruskan suaminya dan beliau hanya menandatangani cek-cek kosong.

Ketika ditanya apa hubungannya dengan Ahmad Zahid, saksi itu hanya mendiamkan diri hampir dua minit sebelum berkata "saya mahu rehat."

Reaksi wanita itu menyebabkan Harris Ong mengulangi soalannya beberapa kali sebelum Kamarunisah menjawab, "Saya hanya mengenali Zahid sebagai ahli politik... setiap tahun saya pergi ke rumahnya untuk perayaan hari raya di Kajang jika dijemput," katanya.

Terdahulu, saksi pendakwaan ke-65, Lee Fook Kheun, 69, yang merupakan penasihat HRA Teguh Sdn Bhd berkata, syarikat itu membuat pinjaman berjumlah RM305,000 daripada Omar Ali dan membuat bayaran dengan cek atas nama Lewis & Co bernilai RM313,000.

"Saya sahkan Omar Ali yang mengarahkan kami di Syarikat HRA Teguh Sdn Bhd mengeluarkan cek ini atas nama Lewis & Co melalui telefon bimbit Omar Ali kepada nombor telefon saya sendiri.

"Wang tersebut dimasukkan kepada akaun bank Lewis & Co melalui banker's cheque pada 30 Jun 2016 bertujuan untuk pembayaran hutang syarikat HRA Sdn Bhd kepada Omar Ali," katanya ketika membaca penyataan saksi ketika pemeriksaan utama oleh Harris Ong.

Fook Kheun yang mengenali Omar Ali semasa menukar mata wang asing di Plaza Sungei Wang pada 1986 berkata, lelaki itu memberi pinjaman tersebut untuk projek Lebuh Raya Rakyat dari Machang dan Kuala Krai pada 2016.

Saksi itu berkata, sebanyak RM88,000 daripada wang tersebut dimasukkan ke dalam akaun peribadi beliau melalui dua transaksi iaitu pada 23 dan 24 Jun 2016 manakala selebihnya diterima oleh syarikat menerusi tiga transaksi pada 23 Jun 2016.

Menjawab soalan tambahan mengapa bayaran balik pinjaman berjumlah RM313,000 Fook Kheun berkata, lebihan sebanyak RM8,000 adalah caj perkhidmatan yang diberikan syarikat itu kepada Omar Ali.

Semasa disoal balas peguam Hamidi Mohd Noh sama ada Fook Kheun pernah bertanya kepada Omar Ali mengapa bayaran itu dibuat kepada Lewis & Co, saksi tersebut menjawab, "Omar Ali beritahu Lewis & Co adalah firma guaman dan saya ikut arahannya, dan dia (Omar Ali) beritahu bayaran kepada Lewis & Co adalah untuk pelanggan lain."

Hamidi: Setuju tak dengan saya bahawa pembayaran balik pinjaman kepada Lewis & Co atas arahan Omar Ali tidak menyalahi undang-undang.

Fook Kheun: Saya tidak tahu, saya percayakan Omar Ali sebab dia kawan saya dan tujuan saya beri wang itu kerana dia telah beri pinjaman kepada kami dan kami bayar balik.

Mengikut pertuduhan bagi kes pengubahan wang haram ke-27, Ahmad Zahid didakwa telah mengarahkan Omar Ali untuk mengubah bagi pihak dirinya wang tunai berjumlah RM6,885,300.20 membabitkan 30 keping cek yang kemudian diserahkan kepada Tetuan Lewis & Co untuk tujuan pembelian Simpanan Tetap di Maybank, yang merupakan hasil aktiviti haram.

Ahmad Zahid berdepan 27 pertuduhan pengubahan wang haram, 12 pertuduhan pecah amanah membabitkan dana Yayasan Akalbudi dan lapan pertuduhan rasuah.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus