Bapa diganggu ah long selepas anak gantung diri

Datuk Seri Michael Chong - Foto Sumber Internet
Datuk Seri Michael Chong - Foto Sumber Internet
A
A
A

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga emas menjadi sasaran ah long selepas anaknya ditemui mati tergantung di rumahnya di Subang Jaya pada 5 Jun lalu.

Ahli perniagaan berusia 71 tahun itu berkata, dia menyedari anaknya berusia 41 tahun itu berhutang dengan ah long apabila menjumpai surat yang memaklumkan dia tertekan kerana diganggu peminjam wang haram.

“Saya tidak tahu jumlah sebenar hutang tersebut. Anak saya dipercayai menggunakan wang tersebut untuk melabur dalam ‘foreign exchange market’,” katanya pada sidang akhbar di Biro Pengaduan Awam MCA di sini hari ini.

Lelaki itu memaklumkan dirinya kini menjadi sasaran apabila kerap kali dihubungi ah long.

“Saya tidak menjawab panggilan itu, malah mereka juga pernah datang ke rumah sebanyak dua kali. Saya berharap mereka tidak lagi mengganggu keluarga saya," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Biro Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA, Datuk Seri Michael Chong berkata, pihak berkuasa perlu mengambil tindakan tegas terhadap ah long.

"Ada peminjam yang mengambil tindakan luar jangkaan kerana tertekan akibat sering diganggu.

"Kebanyakan mangsa takut untuk melaporkan perkara ini kepada pihak berkuasa," katanya.

Artikel Berkaitan: